MALAYSIA bakal menjadi hab pengeluaran ikan sardin halal di rantau Asia, apabila siapnya pembinaan kilang memproses ikan sardin di Tok Bali, Pasir Putih Kelantan.
Pembinaan kilang tersebut dijangka mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan pada masa hadapan, lapor Sinar Harian.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, projek tersebut dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Beliau berkata, kilang memproses sardin akan dibina bersebelahan kilang ais yang sudah siap dan dijangka boleh memulakan operasi pada bila-bila masa bermula sekarang.
“Pembinaan kilang itu nanti membolehkan Malaysia menjadi pengeluaran ikan sardin halal di rantau Asia.
“Ini kerana, Tok Bali merupakan salah satu lokasi terbaik untuk mendaratkan ikan tuna atau ikan sardin apabila kilang itu siap nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena program turun padang meninjau permasalahan dialami oleh nelayan di Kampung Pachakan, Pasir Puteh, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, pembinaan kilang sardin itu juga akan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sekali gus melonjakkan lagi ekonomi mereka.
Menurut Nik Muhammad Zawawi, kerajaan amat menggalakan pengusaha tempatan menceburi aktiviti tangkapan ikan sardin atau tuna di negara ini.
Katanya, hasil tinjauan dibuat semasa turun padang ke Pelabuhan Klang sebelum ini mendapati ikan sardin jenis Yellow Pink boleh mencecah sehingga AS$70 sekilogram di negara Jepun.
Sementara itu beliau memberitahu, beberapa projek lain juga dalam proses untuk dibangunkan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Tok Bali sebagai hab pelabuhan halal di rantau Asia.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan meluluskan insentif cukai khas bagi memacu pelaburan di Kelantan, yang akan memberi manfaat kepada Tok Bali sebagai pusat pertumbuhan baharu di negeri ini dengan memberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa 17 peratus bagi lima tahun berikutnya.
Leave a Reply