kenaikan harga ayam gaji minimum

Selesaikan segera isu kenaikan harga ayam

Oleh DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

ISU kenaikan harga ayam perlu segera diselesaikan oleh kerajaan kerana ia sangat menghimpit rakyat khususnya B40 apatah lagi dalam suasana pilihan raya semasa.

Subsidi kepada pengusaha hanyalah umpama ‘panadol yang bersifat sementara melegakan kesakitan’ tetapi tidak merawat akar umbi penyakit dan masalah.

Kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan keselamatan makanan asasi rakyat sentiasa cukup dan dipenuhi. Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang telah ditubuhkan oleh Kabinet pada April 2020 melibatkan beberapa kementerian perlu segera bermesyuarat menyelesaikan isu ini secara holistik.

Kenaikan harga ayam adalah kesan langsung daripada kenaikan bahan mentah seperti makanan ayam. Ini antara punca permasalahan. Untuk itu kerajaan perlu segera menggalakkan industri kitar semula bahan buangan agrikultur untuk diproses semula sebagai makanan ayam ke arah mengurangkan kos menternak ayam.

khairuddin aman razali ayam
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

Kawalan eksport isi rung kelapa sawit (Palm Kernel Cake) yang menjadi antara bahan makanan haiwan mesti diperketatkan lagi oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kerana sememangnya bekalan dalam negara sendiri tidak mencukupi yang memberi kesan besar pada kos bahan makanan haiwan termasuk ayam. Purata pengeluaran PKC dalam negara ialah 2.4 juta tan setahun namun penggunaan peringkat domestik sangat rendah hanya sekitar 260,000 tan setahun.

Dalam masa yang sama perlu dimanfaatkan segera pelbagai kajian oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan para penyelidik di menara gading melibatkan makanan haiwan dari isi rung kelapa sawit dan sisa sawit lain yang diperkaya dengan nutrisi lain dengan kos yang rendah. Ini adalah penyelesaian jangka masa panjang bagi isu pemakanan haiwan dalam negara.

Selain itu harga utiliti seperti diesel elektrik dan air untuk sektor penternakan dan pertanian perlu dilihat kembali agar industri ini boleh bersaing di pentas antarabangsa.

Sebuah syarikat khusus untuk pertanian berasaskan makanan mesti ditubuhkan bagi tujuan menjadikan negara memiliki kemampuan menghasilkan bahan makanan utama yang cukup tanpa bergantung kepada import.

Polisi kerajaan mengawal harga ayam juga perlu dinilai semula kerana ia menyebabkan penternak tersepit di tengah-tengah kemelut kenaikan harga bahan mentah dan kawalan harga jualan yang tidak sejajar dengan kenaikan kos. Kerajaan tidak boleh mengharapkan harga ayam kekal tanpa berbuat apa-apa untuk membantu mengurangkan kos bahan mentah sektor penternakan dan pertanian. Ini antara punca terbesar masalah yang dihadapi hari ini.

Penulis ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *