lumba haram

Perempuan, wang jadi habuan pemenang lumba haram

Oleh RAHIMI MOHAMAD

POLIS Johor berjaya menumpaskan kegiatan lumba haram yang dipercayai didalangi satu sindiket dengan menjadikan lebuh raya di negeri itu sebagai litar untuk berlumba hasil operasi khas yang dilakukan awal pagi ini.

Malah, sindiket tersebut yang menganjurkan perlumbaan jenis ‘drag race’ dipercayai turut menawarkan habuan berupa wanita selain hadiah wang tunai kepada pemenang.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket dan peminat-peminat lumba haram terbabit menjadikan Plaza Tol Skudai sebagai tempat permulaan sebelum berlumba sejauh 500 meter di jalan lurus menghala ke arah selatan.

Beliau berkata, polis melakukan intipan sejak sebulan lalu sebelum menyerbu lokasi perlumbaan terbabit yang menjadikan pukul 1 hingga 4 pagi pada setiap hujung minggu sebagai waktu untuk berlumba.

“Dalam serbuan yang dijalankan bermula pukul 2 pagi itu, seramai 126 orang ditahan dengan tiga daripadanya positif penyalahgunaan dadah selain sebanyak 66 buah kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak enam buah kenderaan pula sedang berlumba ketika serbuan itu dengan mereka yang lain sama ada sedang menunggu giliran ataupun hanya menjadi penonton di tepi jalan. Kita sedang menyiasat secara terperinci termasuk hadiah yang ditawarkan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini.

Katanya, operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tambah Kamarul Zaman, tindakan mereka menggunakan kenderaan yang telah diubah suai untuk memecut laju bukan sahaja membahayakan kepada pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain

“Orang ramai khususnya anak-anak muda dinasihatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti perlumbaan haram walaupun hanya menjadi penonton kerana itu juga adalah satu kesalahan,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik (JSPT) Johor, Asisten Superintendan Mohd. Zainuddin Abu Bakar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 107 lelaki dan 19 wanita berusia antara 19 hingga 45 tahun.

“Seramai enam orang yang berusia antara 22 hingga 25 tahun telah ditahan melibatkan lima kes di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (1987 dan satu kes di bawah Seksyen 81 akta sama.

“Sementara itu, polis turut mengeluarkan sejumlah 55 keping saman atas pelbagai kesalahan,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *