Penyakit tak tahu malu segelintir pemimpin UMNO

UMNO nampaknya cukup yakin mereka kembali mendapat sokongan rakyat setelah memenangi PRN Melaka sedangkan satu Malaysia tahu peratusan keluar mengundi amat rendah pada waktu itu.

Disebabkan mahu uji lagi sokongan terhadap parti berkenaan, mereka cipta alasan untuk merasionalkan pembubaran DUN Johor.

Pada masa sama, mereka cukup galak mahu PRU15 diadakan segera kerana dengan siri momentum kemenangan, parti itu yakin akan dapat kembali menjadi pemerintah.

Tapi bagi Tok Chey, UMNO tidak akan mendapat laluan mudah untuk menang pada PRU15 walaupun mereka dapat menguasai Johor.

Rakyat tidak akan lupa dengan apa yang berlaku semasa Najib Razak dan Zahid Hamidi di puncak kuasa sebelum UMNO tumbang.

Mereka pada waktu itu dilihat sedaya upaya cuba menyembunyikan salah laku yang besar sedangkan ia sebenarnya tidak mampu untuk disorokkan lagi.

Akibat cuba menutup pekung, UMNO akhirnya telah dihukum pada PRU14 kerana skandal terbesar dalam sejarah Malaysia dan antara terburuk di mata dunia.

Setelah hilang kuasa, semuanya terbongkar apabila Malaysia ketika ini terpaksa menanggung hutang 1MDB hampir RM40 bilion.

Orang lain yang berhutang, tapi rakyat yang terpaksa menanggung beban entah sampai bila mampu untuk dilunaskan.

Bukti makin jelas dan terang apabila Najib Razak yang kini menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat BN terbukti bersalah dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Seperti yang diketahui seantero dunia, Najib sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

Kerana kesalahan-kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Namun disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman berkenaan, Ahli Parlimen Pekan itu tidak perlu ke penjara dan masih bebas.

Zahid Hamidi pula sedang berhadapan dengan kes mahkamah apabila telah diarahkan untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid Hamidi, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid Hamidi didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Melihatkan kepada isu integriti melibatkan dua nama besar dalam UMNO itu dan sokongan pemimpin UMNO lain terhadap mereka, maka amat jelas UMNO ‘merestui’ perbuatan itu.

Tok Chey yakin UMNO tidak akan berubah dan tidak berhasrat untuk berubah selagi mana pemimpin yang terpalit dengan isu integriti masih menjadi tulang belakang kepada parti berkenaan.

Sudahlah pemimpin yang terpalit dengan masalah integriti tidak rasa malu, penyokong yang taksub mengagungkan pemimpin mereka juga ikut sama tanpa ada perasaan malu.

Sama-sama tak malu!

  • Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *