Bergantung kepada kelompok digelar ‘kluster mahkamah’ ‘cita-cita segar’?

NAIB Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan  Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu ketandusan kecerdasan kerana terus menyerang pemimpin yang digelar ‘kluster mahkamah’, sedangkan tiada seorangpun bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kata Khaled yang menjadi Menteri Besar ketika UMNO dan Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya dan tumbang di Johor pada PRU-14;

‘’Saya kasihan benar dengan Presiden Bersatu ini. Benar-benar beliau ketandusan kecerdasan. Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana dibayangi ‘kluster mahkamah’. Rupanya penglibatan Bersatu dalam PRN Johor hanya untuk menentang ‘kluster mahkamah’. Tiada rencana konkrit, lakaran masa depan dan cita-cita yang segar.’’

Beliau yang kalah di kerusi DUN Permas dengan majoriti 8,746 undi kepada calon Bersatu dan tewas di Parlimen Pasir Gudang kepada calon PKR dengan majoriti 24,726 undi turut mengingatkan supaya Muhyiddin tidak seharusnya mengheret rakyat negeri itu ke kancah ‘ketidaksukaan’ beliau terhadap tokoh tertentu.

Hujah beliau, ‘’ Yang utama kepada rakyat Johor ialah mencari kerajaan yang stabil dan boleh memulihkan semula ekonomi.’’ Dan kata Khaled lagi Muhyiddin berdepan krisis terbesar dalam perjalanan politiknya selepas kehilangan sokongan sebagai Perdana Menteri dan gagal dalam beberapa siri PRN termasuk Melaka dan Sarawak.

Kalau itulah hujah-hujah Khaled yang dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Boustead Holding berhad (BOUSTEAD) pada  1 Mei 2020 (iaitu ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri) dan meletakkan jawatan pada 5 Ogos 2021 (kira-kira 11 hari sebelum Muhyiddin meletakkan jawatan), penulis tertanya-tanya adakah tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat terus bergantung kepada pemimpin ‘kluster mahkamah’ boleh dianggap ‘kecerdasan’ dan ‘cita-cita segar’?

Khaled kata beliau kasihan kerana Muhyiddin ‘ketandusan kecerdasan’, ‘’Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana dibayangi ‘kluster mahkamah’.’’

Memang patutlah kalau Muhyiddin berada dalam keadaan tersebut kerana semua orang tahu siapa yang menguasai dan cukup berkuasa dalam UMNO sekarang. Bukankah seorang sudah didapati bersalah oleh dua mahkamah dan empat orang hakim manakala seorang lagi diperintah membela diri atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa.

Muhyiddin mahu memastikan ‘kluster mahkamah’ itu tidak terus berkuasa. Justeru itulah Muhyiddin dalam kenyataannya memberi peringatan mengenai perancangan ‘kluster mahkamah’ apabila berkata;

’Satu cara untuk kumpulan ini kembali berkuasa ialah dengan menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk melalui gabungan dengan PN supaya diadakan pilihan raya negeri. Apabila diadakan pilihan raya dan jika parti mereka menang, kepimpinan parti yang diterajui oleh Kluster Mahkamah akan dilihat semakin kuat dan berpengaruh.

‘’Strategi ini bermula selepas BN menang PRN Melaka. Mereka berasa cukup yakin bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka walaupun BN hanya mendapat 38.5 peratus undi. Kerana itu kumpulan ini telah merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk diadakan Pilihan Raya Negeri Johor.

‘’Mereka memilih Johor kerana Johor dikatakan negeri kubu kuat UMNO. Jika parti mereka menang PRN Johor, mereka akan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum pula dapat diadakan.

‘’Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden UMNO. Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri.

‘’Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri adalah Presiden parti. Jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan Kluster Mahkamah. Mereka akan kembali berkuasa dan selesailah masalah mereka, na’uzubillah.’’

Itu yang Muhyiddin bimbang. Kenapa Khaled tak ulas apa yang dikatakan oleh Muhyiddin itu?Benar atau tidak, dakwaan beliau?  Kenapa Khaled hanya tertumpu kepada perkataan ‘kluster mahkamah’? Penulis yakin ramai nak tahu betul atau tidak apa yang didakwa oleh Muhyiddin itu?

Benar rakyat Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil tetapi biarlah ia dikuasai oleh sebuah parti yang pimpinan tertingginya di peringkat pusat bukan sahaja bersih tetapi nampak bersih.

Sebagai seorang pemimpin yang pernah menjadi menteri di peringkat pusat dan terhumban dari kerusi menteri besar sehingga nak jadi ketua pembangkang pun tak dapat kerana kalah dalam PRU, lebih baik Khaled  diam.

Dan kalau pun Khaled ‘tidur tak lena’, ‘mandi tak basah’ sebab dok menunggu saja untuk membalas kenyataan Muhyiddin…berhujah biarlah tidak dilihat ‘ketandusan kecerdasan’..bukan apa bimbang nanti satu jari tunjuk kepada orang lain, empat jari menunjuk diri sendiri.

Lagipun Khaled pun tidak bertanding dalam PRN Johor dan BN hilang kuasapun ketika beliau menjadi Menteri Besar, biarlah pemimpin lain menebuskan kegagalan tersebut, lagipun rakyat Johor pasti bijak membuat keputusan terbaik sepertimana mereka pernah lakukan pada tahun 2018.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *