Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan mengarahkan sesi persekolahan dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 ditangguhkan walaupun kes Covid-19 naik mendadak ketika ini.
Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, perkembangan kes pada ketika ini menunjukkan peratusan pesakit baharu wabak itu yang melibatkan kategori empat atau lima adalah kecil.
“KPM komited untuk memastikan pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan kesemua Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dipatuhi.
“Komitmen ini dibuat dengan mengambil kira pengalaman pelaksanaan SPM 2020 pada Februari tahun lalu berjalan dengan lancar dan kita juga sudah mempunyai SOP yang lengkap berhubung perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar, di Trove Hotel, Johor Bahru, hari ini.
Radzi berkata, peperiksaan SPM tiada masalah untuk diteruskan kerana lebih 90 peratus pelajar Tingkatan 5 sudah lengkap divaksin, berbeza dengan pelajar yang menduduki SPM pada tahun lalu.
“Kita juga mengambil pertimbangan ini dengan melihat konteks kesihatan lebih besar iaitu jumlah kes baharu tidak memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara,” katanya.
Pihaknya bagaimanapun tidak menafikan terdapat jangkitan Covid-19 melibatkan guru-guru dan pelajar di kawasan sekolah namun peratusan itu terlalu kecil.
“Kluster sekolah terlalu kecil iaitu hanya melibatkan 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah sekolah tidak berasrama iaitu sebanyak lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara,” ujarnya.
Beliau berkata, KPM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan perjalanan operasi persekolahan dilakukan dengan mematuhi SOP ditetapkan.
Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftar anak-anak mereka yang berusia antara 5 hingga 11 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).
Leave a Reply