PRN Johor medan pulihkan  maruah… Bangkitlah Pas!

ARENA politik negara selama berpuluh-puluh tahun sejak 1951 telah menyaksikan bagaimana Pas terus berjuang di persada politik berbekalkan tiga  ‘azimat’ iaitu kesetiaan,ketaatan dan semangat.

Inilah ‘senjata’  yang menjadi kekuatan Pas sehingga  memungkinkan Pas berada dalam kedudukan sekarang dengan berkongsi kuasa di peringkat pusat, memerintah Kelantan sejak 1990, ‘bertukar-tukar’ dengan UMNO memerintah Terengganu sejak 1999 dan memimpin Kerajaan Negeri Kedah ketika ini.

Semua itu dicapai hasil perjuangan tidak mengenal penat dan pengorbanan tanpa terhitung pemimpin,ahli dan penyokong Pas. Dan sudah pastilah kesetiaan, ketaatan dan semangat menjadi landasannya.

Kesetiaan, ketaatan dan semangat itulah yang memperkukuhkan Pas dalam perjuangannya. Walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan kerana ‘azimat’ itu termasuklah ahli-ahli Pas dituduh oleh musuh-musuh politiknya sebagai setia ‘membabi buta’, taat ‘tidak bertempat’ dan bersemangat ‘tidak tentu hala’, namun mereka tidak pernah tergugat untuk meneruskan perjuangan bersama parti tersebut.

Hasilnya, Pas berjaya menjadi sebuah parti yang digeruni oleh lawan dan dihormati kawan. Atas sebab itulah Pas tidak layak dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ dan mana-mana pihak khususnya parti politik.

Namun apa yang berlaku sejak kebelakangan ini agak menyedihkan. Pas yang bersedia menamatkan persengketaan berpuluh-puluh tahun dengan UMNO melalui piagam perpaduan ummah dan menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional yang diketuai Bersatu menerima pelbagai kecaman daripada segelintir UMNO.

Kecaman yang dilemparkan kadang kala sudah sampai pada tahap menghina dan semua itu terjadi selepas Pas yang sebelum ini berjasa besar kepada UMNO dengan membantu parti menenangi beberapa pilihan raya kecil memutuskan untuk bersama Bersatu dalam PRN Melaka.

Kegagalan Pas memenangi kerusi di pilihan raya itu bagaikan ‘memberi peluru’ kepada segelintir pemimpin UMNO untuk memperlekehkan Pas habis-habisan.

Malangnya ketika serangan itu dilakukan, di dalam Pas berlaku perpecahan apabila ada segelintir pemimpin Pas masih lagi tetap mahu mempertahankan Muafakat Nasional bersama UMNO biarpun Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang tetap mempertegaskan prinsip, ‘’bersama Muafakat Nasional, mempertahankan Perikatan Nasional’.

Keadaan itu menyebabkan ramai mentafsirkan tiga ‘senjata’ yang selama ini menjadi kekuatan Pas semakin tergugat. Kesetiaan semakin goyang, ketaatan semakin longgar dan semangat semakin luntur.

Kononnya  atas nama perpaduan ummah mereka berhujah Muafakat Nasional perlu dipertahankan tanpa berfikir, apakah perpaduan ummah itu hanya berkisar kepada hubungan UMNO dan Pas sahaja?

Berikutan senario perpecahan itulah rasa hormat kawan dan rasa gerun lawan terhadap Pas semakin mencair. Dan apabila PRN Johor bakal diadakan, Pas diperlekeh habis-habisan oleh segelintir pemimpin UMNO negeri itu seolah-olah tidak ada secebis pun berjasa kepada UMNO.

Sepatutnya kalau pun mahu mengkritik biarlah beradab, kalau menegurpun janganlah sampai menghina, rajinlah sikit untuk mengimbas kembali bagaimana  tanpa sokongan atau persetujuan Pas sudah pasti UMNO tidak kembali menjadi kerajaan sehingga pada tahap ini menguasai jawatan Perdana Menteri.

Tetapi soalnya adakah pemimpin, ahli dan penyokong Pas akan membiarkan penghinaan berterusan? Adakah mereka akan membiarkan parti kesayangan mereka itu terus dipandang rendah dan dilihat berada dalam kedudukan ‘ada pun tak untung, tak adapun tak rugi’ oleh UMNO?

Kesemua penghinaan, cacian dan sikap memandang rendah kepada Pas harus dihentikan. Dan PRN Johor adalah platform terbaik untuk Pemimpin, ahli dan penyokong Pas membuktikan bahawa kesetiaan mereka masih utuh, ketaatan mereka masih teguh dan semangat masih membara demi perjuangan parti di bawah kepemimpinan ulama itu.

Pemimpin dan ahli Pas harus memperkukuhkan tiga senjata tersebut bagi memastikan calon-calon Perikatan Nasional mencapai kemenangan. Pas perlu memastikan bahawa mereka mampu membuktikan kehadiran mereka di PRN Johor mendatangkan impak supaya segelintir pemimpin-pemimpin UMNO tidak lagi memandang rendah kepada mereka.

Bagi mencapai tujuan itu, semua pemimpin dan ahli Pas harus benar-benar ikhlas dan istiqomah untuk bersama-sama Abdul Hadi memastikan panji-panji perjuangan Pas tidak lagi diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

Tidak boleh ada lagi kesetiaan yang luntur, ketaatan yang pudar dan semangat yang lemah dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas di PRN Johor.

Di Johor lah, mereka perlu bangkitkan semula bahawa Pas adalah parti bermaruah, Pas adalah sebuah parti yang harus digeruni dan Pas perlu dihormati.

Penulis yang membuat liputan dan mengikuti perkembangan politik Pas sejak tahun 1991 merindui untuk melihat bagaimana hebat kesetiaan, ketaatan dan semangat pemimpin dan ahli parti itu dalam mana-mana pilihan raya.

Ada yang sanggup berkorban meredah perjalanan beratus-ratus kilometer ke mana-mana juga tempat yang ada pilihan raya dengan belanja sendiri demi matlamat memenangkan parti.

Penulis turut mengagumi semangat jentera parti bekerja siang dan malam, hujan mahupun panas demi memastikan parti mencapai kemenangan. Strategi ‘peperangan’ Pas dalam mana-mana pilihan raya ketika itu cukup hebat sehinggakan lawan tidak senang duduk…perang saraf mereka begitu jitu dan hitungan jangkaan undi cukup tepat.

Kalau menang mereka bersyukur, bila kalah mereka tidak patah semangat. Inilah Pas yang penulis kenali dan ketahui sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Penulis tidak menyebelahi sesiapa tetapi sebagai orang Melayu dan Islam, penulis turut terasa apabila ada pemimpin Melayu dari parti Melayu memperlekehkan Pas sesuka hati seolah-olah Pas sebuah parti picisan yang tidak ada maruah!

Justeru pemimpin dan ahli Pas perlu bangkit di Johor…bangkit demi maruah Pas..bangkit untuk menutup keceluparan segelintir pemimpin UMNO yang parti mereka sendiri bergantung kepada pemimpin bermasalah untuk memimpin…dan bangkit untuk membuktikan kesetiaan,ketaatan dan semangat Pas masih wujud!

Bangkitlah! Jangan biarkan Pas terus dihina, jangan izinkan Pas diperlekeh dan jangan benarkan maruah Pas diperkotak-kotik…PRN Johor medannya..


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *