Maritim rampas 1.2 tan daun ketum bernilai RM216,000

Oleh RIZQI ZABIDI

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup 1.2 tan daun ketum di muara Kuala Kedah semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan yang telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang mencurigakan di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah .

Katanya, sejurus menerima maklumat, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan kira-kira pukul 6 pagi.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri dengan terjun ke paya bakau lalu meloloskan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit telah menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan 1.2 tan bernilai RM216,000

“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit telah menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan 1.2 tan bernilai RM216,000 yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Azreyanti berkata, harga pasaran semasa daun ketum di Thailand yang mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan RM30 sekilogram menjadikan barangan terlarang itu banyak diseludup ke negara jiran itu.

Katanya, semua hasil rampasan beserta bot nelayan tempatan kelas A dan enjin dianggarkan bernilai RM276,000 telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang mencurigakan di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah sebelum berjaya ditahan

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Jelas beliau, Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Katanya, pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *