EJEN Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) bergegas memindahkan Douglas Emhoff, suami kepada Naib Presiden, Kamala Harris, pelajar dan pentadbir Sekolah Tinggi Dunbar ke tempat selamat ekoran ancaman bom.
Menurut laman web institusi pendidikan itu, Emhoff menghadiri acara sempena bulan Black History di sekolah menengah pertama untuk rakyat berkulit hitam di AS.
Bagaimanapun, tiada letupan ditemui di lokasi terbabit dan ancaman sedang disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Beberapa siri ancaman bom berlaku pada minggu lalu terhadap puluhan kolej dan universiti kulit hitam (HBCUs) bersejarah di seluruh negara, sehingga pentadbir institusi berkenaan terpaksa membatalkan kelas.
Ia sekali gus meningkatkan ketakutan dalam kalangan masyarakat kulit hitam negara itu.
Menurut pihak polis, berdasarkan maklumat awal diterima menunjukkan, ancaman bom itu tidak menjadikan Emhoff sebagai sasaran.
“Begitu juga ia tiada kaitan dengan ancaman bom sebelum ini. Bagaimanapun, ini bukan bermakna ia (ancaman bom) boleh dibiarkan begitu saja,” kata jurucakap polis.
Polis juga berkata, ancaman bom dibuat menerusi panggilan telefon yang sedang dikesan pihak berkuasa sebelum mengisytiharkan kawasan sekolah tinggi itu diklasifikasikan selamat .
Terdahulu, kakitangan Emhoff memberitahu wartawan bahawa pihak sekolah ada melaporkan ancaman kepada Perkhidmatan Rahsia AS, yang melindungi pemimpin politik dan keluarga mereka.
Jurucakapnya memaklumkan bahawa Emhoff dalam keadaan selamat.
“Berlaku ancaman di lokasi Emhoff berada, jadi kita mengambil langkah berjaga-jaga memindahkan semua orang seperti yang anda boleh lihat. Kita rasa semua orang selamat. Bangunan juga selamat,” kata jurucakap Sekolah Awam Daerah Columbia (DCPS).
Leave a Reply