ISU kekurangan bekalan telur ayam di pasaran akan diselesaikan segera di mana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan perbincangan secara bersama.
Menurut Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, pelbagai rungutan dan kebimbangan diluahkan masyarakat susulan kekurangan bekalan telur di pasaran terutama menjelang Ramadan dan Syawal nanti, lapor Berita Harian.
Menurut Rosol, jika harga sudah ada tetapi bekalan telur tiada, akan timbul juga masalah. Jadi, ia perlu dipastikan kedua-dua isu ini dapat diselesaikan supaya tidak berbangkit pada masa depan.
“Kerajaan sedar dan ambil berat dengan mereka yang terbabit seperti pengusaha biskut raya jika masalah ini berlarutan, sedangkan kita memerlukan bekalan telur lebih banyak berbanding biasa.
“Ia berikutan pertambahan permintaan memandangkan ramai peniaga dan pengusaha menjalankan perniagaan makanan di bulan puasa serta raya, malah rakyat Malaysia menggunakan 30 juta biji telur sehari,” katanya selepas merasmikan stesen minyak 5Petrol Batu Balai, Jerantut Pahang, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd, Datuk Seri Dr King Lim Chub Fui dan Pengerusi Five Petroleum Malaysia, Datuk Juhari Abdul Ghani.
Menyentuh isu kenaikan harga dedak ayam, Rosol berkata, ia akan meningkatkan harga ayam di pasaran, tetapi kerajaan melakukan kawalan harga dengan menetapkan harga siling RM8.90, selain MAFI membekalkan daging ayam import bagi menstabilkan harga ayam di pasaran.
“Saya difahamkan setakat ini 29 permit daging ayam import dikeluarkan MAFI dalam usaha mengimbangkan harga ayam di pasaran,” katanya.
Sementara itu, Rosol berkata, sebanyak 2,410 premis diperiksa dengan tiga kes dicatatkan setakat Isnin lalu sepanjang pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.
“Jika terdapat unsur pencatutan harga, kita akan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit,” ujar beliau.
Leave a Reply