Oleh RAHIMI MOHAMAD

KIRA-KIRA 2.5 juta rakyat Johor yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi perlu melihat rekod pencapaian Perikatan Nasional (PN) yang terbukti berkesan ketika negara terhimpit dengan pandemik Covid-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, meskipun ada pihak yang tidak suka dengan hakikat itu namun fakta berkenaan tidak dapat disembunyikan.

Katanya, ia turut diiktiraf oleh dunia apabila Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei meletakkan Malaysia pada tangga ke-13 daripada 115 negara setakat 31 Disember lalu.

Beliau berkata, ia kejayaan luar biasa hasil kepimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri dan kini menerajui Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Kita kena lihat rekod yang telah dilakukan oleh PN dalam tempoh yang begitu singkat ketika negara hadapi krisis kesihatan dan ekonomi, namun kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN telah berjaya membawa negara keluar daripada krisis ini.

“Ini adalah rekod yang tidak boleh dipadamkan. Angka tidak menipu. Lihat kepada pencapaian itu yang akan membawa kebaikan kepada industri di Johor.

“Terbukti keyakinan pelabur-pelabur asing terhadap negara, sistem perniagaan dan dasar pelaburan negara yang diperkenalkan beliau,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Bersama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Tangkak, malam tadi.

Justeru, Mohamed Azmin berkata, kejayaan tersebut perlu diteruskan dengan meletakkan keyakinan kepada PN untuk membentuk kerajaan termasuk di Johor.

“Kenapa kita tak boleh menerima (fakta) ini, kalau tak suka janganlah sampai nak padamkan kejayaan dan fakta-fakta itu. Saya serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan dalam PRN Johor,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN berkata, Bersatu, Pas dan Gerakan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Untuk PRN Johor kita telah membuktikan bahawa khidmat kita bukan sahaja pada pilihan raya itu. Mereka (pimpinan) telah memberi khidmat cemerlang ketika diberi tugas sebagai Exco dan wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here