- Kalau dah kata ‘Langkah Sheraton’ itu rakus, kenapa UMNO ikut?
TEBUAN Tanah (TT) tak tahu sama ada nak nangis ke, senyum ke atau gelak guling-guling bila baca kenyataan dua tiga pemimpin UMNO yang terus bercakap pasal ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘Langkah Sheraton’.
Pemimpin muda parti itu kata, sejak dari awal lagi Pemuda UMNO tidak pernah bersetuju dengan ‘kerajaan pintu belakang’ manakala pemimpin berpengaruh dalam parti itu walaupun bukan Presiden parti berkata,’’Langkah Sheraton’ itu yang rakus bukan PRN Johor.
TT nak tanya, sama ada ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘Langkah Sheraton’ UMNO terlibat ke tidak? Nak tanya macam mana UMNO boleh jadi Perdana Menteri sekarang, adakah melalui pilihan raya, begitu juga nak tanya adakah Hasni Mohammad jadi Menteri Besar Johor melalui pilihan raya?
Bukankah semuanya bermula dengan ‘Langkah Sheraton’ dan ‘Kerajaan Pintu Belakang’? Kalau dah tahu dan anggap apa yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Mac 2020 dahulu tidak betul, kenapa sampai sekarang UMNO masih bersedia dan terus bersama dalam kerajaan dengan Bersatu – sebuah parti yang dianggap oleh pemimpin UMNO sebagai pengkhianat.
Kenapakah ketika itu tidak timbul pula hujah pemimpin berpengaruh tersebut, Langkah Sheraton” itu yang rakus kerana mengkhianati gabungan sendiri dan menggantikan pengasas parti (Bersatu) untuk menjadi Perdana Menteri, malah menggunakan “scheme of things” bagi mengekalkan kuasa.’’
Dan kalau betullah hujah Pemuda UMNO sejak dari awal lagi tidak bersetuju, kenapa pula ‘Kerajaan Pintu Belakang’ itu kemudiannya ‘diambialih’ dan meminjam kata pemimpin muda itu dijenamakan semula di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob? Kalau dah tak betul kenapa nak jenamakan semula…minta la buat pilihan raya!
TT bersetuju, kita semua menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang tidak bersedia untuk membubarkan Parlimen ketika rakyat sedang berdepan penularan Covid-19 tetapi itu sepatutnya tidak mengubah pendirian pemimpin parti berkenaan pasal ‘Kerajaan Pintu Belakang’ atau kerakusan ‘Langkah Sheraton’.
Paling molek oleh kerana pilihan raya tidak boleh diadakan tetapi kerajaan tetap perlu ada bagi menguruskan negara, kenapakah UMNO tidak sekadar menyokong sahaja dan tidak menyertai atau memegang sebarang jawatan dalam Kabinet atau GLC?
Bukankah itu lebih baik supaya UMNO boleh mengkritik dan menyerang kerajaan jika ada kelemahan bukannya ibarat ‘duri dalam daging’ dalam kerajaan sehingga rakyat pening…berada dalam kerajaan tetapi dok serang kerajaan sehingga Muhyiddin dan Kabinet susah nak buat kerja…paling malang huru-hara politik negara dibuatnya.
Jadi TT nak nasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO berhentilah buat kenyataan politik yang memeningkan kepala rakyat. Akui sahaja UMNO menyertai ‘Kerajaan Pintu Belakang’ dan ‘Langkah Sheraton’ kerana ada agenda tersendiri. Kalau tidak ada agenda itu, tidak payahlah menggunakan istilah yang memualkan apatah lagi jika sampai hari ini masih merasai keseronokan menjadi salah satu parti dalam kerajaan dan paling best menjadi Perdana Menteri – bukan senang ditolak bulat-bulat oleh rakyat dalam PRU-14 tiba-tiba menjadi kerajaan tanpa pilihan raya…betul tak?
Nasihat TT, pemimpin-pemimpin UMNO tolak tengok dulu cermin sebelum nak guna istilah-istilah tu…bukan apa takut orang kata, ‘’hang pun sama…’’
- Kenapa ‘pakar politik Covid-19’ senyap, ‘dendam’ dah lunas ke?
MASIHKAH kita ingat, ketika negara mula-mula dilanda pandemik Covid-19 dan apabila kes jangkitan harian mencecah 10,000 kes, bagai ‘nak rak’ pakar-pakar politik Covid-19 menyerang kerajaan. Mereka berada dalam kerajaan tetapi perangai pembangkang.
Apa sahaja dilakukan oleh kerajaan yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, semuanya tidak betul. Buat lock down salah, tak buat lock down salah, bagi bantuan pun salah, tak bagi bantuan pun salah. Senang cakap tak ada satu pujian pun diberikan.
Mereka bukan tak tahu, apabila Covid-19 menyerang, ia merupakan kali pertama dalam sejarah negara berhadapan dengan satu pandemik yang bukan sahaja mengancam negara malah seluruh dunia. Banyak negara berhadapan dengan impak cukup hebat.
Walaupun Malaysia turut mendapat impaknya namun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan melalui pendekatan ‘selamatkan nyawa, pulihkan ekonomi rakyat.’ Ratusan bilion ringgit disalurkan bagi mengawal pandemik itu dan membantu rakyat.
Tetapi kebijaksanaan pakar-pakar politik Covid-19 yang ‘kepala sudah berulat dengan dendam politik’ menyebabkan usaha kerajaan sentiasa nampak tidak betul. Yang anehnya, empat menteri kanan yang menguruskan Covid-19 itu datang daripada parti ‘pakar-pakar’ itu.
Namun begitu melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan, kita semakin pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa sekarang.
Bagaimanapun hari ini, kes Covid-19 mencecah lebih 10,000 dan dijangka akan mencecah 20,000 hujung Mac jika kadar kebolehjangkitan (Rt) terus meningkat. TT tidak salah menteri yang terlibat menguruskan Covid-19 kerana sejak awal lagi mereka memang bertungkus lumus bersama agensi kerajaan memerangi pandemik itu.
Tetapi yang TT nak tanya, kenapa tiada suara daripada ‘pakar-pakar politik Covid-19’ seperti mana sebelum ini. Tak kan tak ada idea kot bagaimana nak kawal Omicron daripada merebak. Dulu bukan main lagi, ada ‘pakar politik’ tu setiap hari jadi penganalisis membandingkan data kes negara ini dengan negara-negara lain. Macam-macam perbandingan mereka buat dengan tujuan untuk memburukkan kerajaan Muhyiddin masa itu.
Sekarang kenapa diam? Adakah kerana Perdana Menteri daripada parti ‘pakar-pakar politik Covid’ itu atau misi menjatuhkan Muhyiddin melalui fitnah ‘kerajaan gagal’ sudah berjaya melalui ‘Kerajaan Pintu Belakang’ dan ‘Langkah Sheraton’ yang mereka sertai? Tanya aje sebab sikap hipokrit mana boleh sembunyi lama-lama…kan.
** Tebuan Tanah (TT) adalah penganalisis politik yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.
Leave a Reply