SEORANG lelaki meninggal dunia ketika melakukan aktiviti pendakian di bukit berhampiran Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di Georgetown, semalam.
Mangsa berusia 54 tahun ditemukan tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 meter dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Safry Romli, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 4.10 petang.
Katanya, sepasukan lima anggota mendaki kira-kira 20 minit iaitu sejauh 450 meter ke lokasi mangsa ditemukan pengsan.
“Ketika tiba di tempat kejadian, didapati mangsa tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 meter bukit berkenaan.
“Pasukan penyelamat memberi bantuan kecemasan jantung dan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) selama 30 minit kepada mangsa,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.
Safry berkata, anggota bomba menurunkan mangsa ke kaki bukit menggunakan pengusung.
“Mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.
Difahamkan mangsa dari Sungai Ara, Bayan Lepas, sebelum itu melakukan aktiviti mendaki bersama kira-kira 10 rakannya sebelum didapati tidak sedarkan diri.
Leave a Reply