DI sesetengah kawasan pedalaman, orang-orang lama yang sudah mempunyai cucu dan cicit akan dipanggil dengan nama gelaran Tok Chey. Nama panggilan itu jika di tempat lain samalah seperti datuk atau tok wan.
Tok Chey sebenarnya nak kongsi sedikit kisah yang berlaku di kawasan kampung tempat Tok Chey dilahirkan. Kisah ini mungkin berlaku di tempat lain dan kita sama-sama boleh ambil pengajaran daripada apa yang berlaku.
Di kawasan ini kebanyakan penduduk kampung hidup dengan harmoni kerana rata-ratanya mempunyai talian persaudaraan antara satu sama lain.
Semuanya hidup bagai satu keluarga. Jika ada kenduri kendara, gotong-royong, kematian dan sebagainya, penduduk akan sentiasa bersama-sama tanpa ada permusuhan.
Keharmonian itu diragut sepenuhnya apabila masing-masing mula taksub dengan parti politik yang dianuti. Oleh kerana di kawasan kampung ini majoritinya Melayu, maka hanya dua parti yang kuat iaitu Pas dan UMNO.
Apa yang Tok Chey ingat, permusuhan antara UMNO-Pas mula-mula tercetus apabila Amanat Haji Hadi diagung-agungkan pada tahun 1981.
Pada masa itu, orang Pas tidak lagi memandang orang UMNO sebagai saudara mereka walaupun ada pertalian darah dan beriman pada agama yang sama.
Di kampung Tok Chey tahap pertelingkahan antara dua parti agak kronik antaranya keranda diasingkan antara jenazah ahli Pas dan jenazah orang UMNO.
Bagi keranda Pas akan diletakkan logo parti itu, manakala keranda UMNO tiada sebarang tanda tapi orang kampung mengetahuinya ia milik UMNO kerana disumbangkan oleh kerajaan.
Kerajaan pusat dan negeri yang diketuai UMNO pada masa itu juga tidak menyalurkan sebarang bantuan sekiranya mengetahui penduduk kampung tersebut adalah orang Pas.
Masjid dan surau dikuasai oleh orang Pas dan setiap kuliah agama, khutbah Jumaat menjadi medan untuk menghentam UMNO.
Setiap kali solat jemaah, penampilan orang Pas dan UMNO juga dapat dikenali melalui penampilan masing-masing.
Jika orang Pas, mereka akan memakai kopiah tertera logo parti, manakala orang UMNO sama ada memakai songkok ataupun kopiah tidak bertanda.
Begitu juga dengan soal nikah, seboleh-bolehnya ahli Pas akan mengelak berbesan atau bermenantukan orang UMNO.
Majlis kenduri kahwin atau doa selamat yang dianjurkan oleh orang Pas, maka orang UMNO tidak akan menghadirinya dan begitulah sebaliknya.
Setiap kali pilihan raya, masing-masing akan bertekak di pondok panas seperti dunia mahu runtuh.
Jika pemimpin peringkat atas berbalas serangan antara satu sama lain, maka gelombang panas akan berlipat kali ganda berlaku di peringkat bawah. Masing-masing bertekak dengan hujah masing-masing dan tiada siapa yang mahu kalah.
Walaupun amalan perpecahan kronik antara dua penyokong seperti pengasingan keranda sudah ditinggalkan, penyokong dua parti itu masih sukar berdamai kerana mengikut teladan pemimpin di peringkat atas.
Tapi siapa sangka – tatkala dihantui memori sejarah pertelingkahan kronik, dua parti itu boleh bekerjasama dan saling menyayangi antara satu sama lain.
Di peringkat atas pemimpin UMNO-Pas berpelukan dan menitiskan air mata kerana berjaya disatukan apabila termeterainya memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional (MN) pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.
Luka-luka lama yang dalam dan berparut dua seteru politik itu seperti hilang dibawa angin dek kerana penyatuan yang berlaku semasa kerajaan pusat dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH).
Tok Chey lihat, tempiasnya cukup hebat di kawasan kampung ini apabila tiada lagi permusuhan antara dua penyokong. Semuanya boleh duduk semeja dan hidup dengan harmoni seperti sebelum Amanat Haji Hadi yang memecah-belahkan penduduk.
Semuanya tidak berbicara mengenai persengketaan lalu, sebaliknya topik perbualan banyak kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan PH. Tiada langsung isu-isu yang melibatkan luka lama akan diungkitkan.
Dipendekkan cerita, nampaknya jodoh UMNO-Pas tak kekal lama. MN seperti tidak lagi mampu dipertahankan. Masing-masing saling tuding menuding dan salah menyalah antara satu sama lain. Bibit perpecahan sudah ketara.
Para pemimpin sudah mula berbalas serangan dan perpecahan makin jelas di peringkat atas. Jadi, adakah penduduk kampung Tok Chey ini perlu kembali kepada zaman perpecahan yang sia-sia itu?
*Tok Chey berpengalaman 20 tahun dunia kewartawanan.
Leave a Reply