Awas! Februari meragut nyawa di pesisir pantai Terengganu


TERENGGANU memang cukup terkenal dengan keindahan alam semulajadi kerana memiliki pelbagai sumber penting seperti laut, pantai dan pulau menjadikan ia terus mendapat perhatian pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

Malah, keunikan ketiga-tiga sumber berkenaan merupakan aset penting bagi negeri ini mengembangkan bidang pelancongan, apatah lagi produk berkenaan juga mampu menjadi daya tarikan utama kepada orang luar yang berkunjung ke sini.

Maka itu, setiap cuti umum dan hujung minggu, berpusu-pusulah pengunjung akan menyerbu ke pulau-pulau peranginan untuk berkelah sambil melakukan pelbagai altiviti laut seperti mandi manda,  memancing, selam skuba dan sebagainya. Bagi yang tidak ke pulau pula, mereka memilih pesisir pantai untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga atau sahabat handai.

Bagaimanapun, penulis mendapati ramai pengunjung tidak menyedari bahawa di sebalik keasyikan dan keseronokan melakukan aktiviti tersebut,  sebenarnya terdapat ancaman bahaya tersembunyi. Ini kerana, sejak dari kecil penulis pernah diberitahu orang dulu-dulu keadaan laut di kawasan perairan Terengganu termasuk di pesisir pantai bukanlah selamat untuk dikunjungi sepanjang masa.

Sebaliknya, setiap aktiviti berkaitan laut hanya terhad dilakukan pada musim tertentu sahaja, iaitu antara Mac hingga Oktober. Manakala dalam tempoh empat bulan yang masih berbaki iaitu bermula November hingga Febuari pula perairan Terengganu dikategorikan sebagai berbahaya kerana sepanjang bulan tersebut ia masih berada dalam musim tengkujuh.

Walaupun ada kalanya keadaan laut kelihatan tenang, tetapi tiupan angin monsun Timur Laut belum berakhir. Ada ketika ia datang secara tiba-tiba, menyebabkan mereka yang berada di pulau-pulau akan terperangkap dan terpaksa menunggu suasana kembali tenang untuk pulang ke daratan.

Sebab itulah sepanjang musim tengkujuh ini rata-rata nelayan pesisir pantai tidak keluar ke laut dan masih menyadaikan bot-bot mereka di dalam kuala atau muara sungai. Begitu juga pusat-pusat peraginan di pulau, masih banyak pengusaha terbabit yang mengambil sikap berhati-hati dan tidak beroperasi penuh selagi belum berakhir musim tengkujuh.

Sepanjang tempoh tersebut setiap aktiviti berkaitan laut dan juga di pesisir pantai tidak sesuai dilakukan walaupun secara fizikalnya keadaan laut dan ombak kelihatan tenang seperti di dalam sungai. Namun, berdasarkan pengalaman penulis yang pernah menjadi ‘anak laut’, sebaik melepasi muka kuala, bot terpaksa memperlahankan kelajuannya kerana ia bergelombang.

Masih segar dalam ingatan penulis pesanan orang tua dulu-dulu yang bekerja mencari rezeki di laut. Mereka membuat penanda aras mengatakan berakhirnya musim tengkujuh ialah setelah masyarakat Cina selesai menyambut Chap Goh Meh. Selepas itu barulah nelayan akan keluar ke laut untuk mecari rezeki dengan perasaan tenang.

Bagi kebanyakan nelayan pantai, mereka menanamakan bulan Febuari sebagai musim persediaan untuk ‘buka kuala’, iaitu musim peralihan menandakan bahawa musim tengkujuh akan berakhir. Bagaimanapun, ada juga dalam kalangan nelayan pantai masih bimbang untuk ke laut pada bulan Februari kerana keadaan laut dikatakan masih berisiko tinggi di mana sering muncul gulungan ombak ‘ekor naga’ dan arus agak deras di bahagian bawah laut.

Bagi penulis, kepercayaan dan amalan nelayan dahulu mungkin ada benarnya kerana perairan Terengganu termasuk di pesisir pantai sentiasa meragut nyawa manusia pada bulan Februari dalam keadaan tidak terkawal dan tanpa sedar.

Sebagai contoh, dalam kejadian pada 7 Febuari 2008, tiga nyawa terkorban melibatkan seorang pelancong dan dua sahabatnya yang ditarik ombak secara tiba tiba ke laut ketika sedang mencari ketam di Pantai Peranginan Kelulut Marang.

Kejadian itu seolah-olah mengulangi peristiwa pada akhir bulan Febuari 2005 di mana ia telah meragut nyawa seorang guru bersama lima pelajar Sekolah Menengah Agama Tok Jiring, Kuala Nerus yang sedang mandi manda di kawasan air tenang di Pantai Merang, Setiu sebelum tiba-tiba dipukul ombak besar setinggi dua meter sebelum dihanyut arus deras ke laut.

Walaupun kejadian itu telah lama berlalu, penulis ingin menasihati kepada pengunjung pantai agar tidak terlalu ghairah dengan laut, pantai dan pulau, sebaliknya mereka perlu berhati-hati ketika berada di lokasi tersebut. Hal ini disebabkan penulis mendapati beberapa kejadian yang berlaku sebelum ini kebanyakannya berpunca daripada kelalaian manusia. Mereka terlalu ghairah melakukan aktiviti di pantai dan laut sedangkan musim tengkujuh belum berakhir.

Malah, banyak kejadian mati lemas yang berlaku di kawasan pantai di negeri ini disebabkan mereka tidak megetahui keadaan sebenar mengenai laut dan pantai di sesuatu tempat di samping tidak tahu berenang.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin ‘bermain’ pantai dan laut bersama keluarga atau sahabat handai di Batu Burok, Chendering, Tok Jembal, Teluk Ketapang, Kelulut, Teluk Lipat, Teluk Gadong, Pantai Air Tawar, Rhu Sepuluh, Merang dan Teluk Mak Nik seharusnya mengambil pengajaran di atas kejadian lalu disamping turut mengambil tahu keadaan pantai terbabit. Ia penting kerana laut dan pantai Terengganu boleh mengancam nyawa manusia sekiranya tidak berhati-hati.

Jangan disangka keadaan laut yang tenang dan cetek itu selamat untuk aktiviti mandi manda sedangkan di dasarnya tersembunyi pelbagai ancaman yang boleh membawa tragedi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *