muda syed saddiq kacau daun

Belum tentu orang muda undi Muda, kata Syed Saddiq

Oleh RAHIMI MOHAMAD

MESKIPUN menggunakan nama singkatan Muda bagi Parti Ikatan Demokratik Malaysia, presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak yakin semua pengundi muda akan memilih mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, walaupun Muda melihat golongan berkenaan sebagai satu kelebihan tetapi mereka perlu berusaha keras untuk memenangi hati orang muda.

Muda juga kata Ahli Parlimen Muar itu, tidak memandang ringan pertambahan seramai 749,731 pengundi baharu termasuk pengundi saluran muda dalam PRN Johor yang mungkin diadakan pada Mac.

Bagaimanapun beliau percaya, kehadiran pengundi baharu itu akan menjadi ‘game changer’ kepada landskap politik negeri Johor.

“Saya selalu ingatkan pemimpin Muda supaya jangan ambil mudah dengan undi anak-anak muda ini, sebaliknya kita perlu bekerja dan berkhidmat jauh lebih kuat daripada parti lain.

“Saya ingatkan jangan hanya kerana kita Muda, belum tentu orang muda akan undi kita, kita perlu bawa perubahan dasar yang lebih baik kepada mereka kerana inilah caranya untuk kita mendekati mereka.

“Sebab itu kita perlu fokus kepada politik dasar dan politik khidmat lebih baik daripada parti lain, biar kita berlumba bukan untuk menjatuhkan tetapi berlumba untuk memberi tawaran dan khidmat jauh lebih baik,” katanya.

Syed Saddiq yang disebut-sebut akan bertanding kini berada di Johor dalam siri Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor sejak semalam.

Tambahnya, tawaran Muda kepada golongan berkenaan lain daripada parti lain yang dilihat lebih realistik kerana anak muda kini berbeza dan jauh lebih bijak jika dibandingkan dengan anak muda generasi terdahulu.

“Mereka tidak akan mengundi seseorang calon hanya kerana faktor usia yang muda dan juga tidak akan memilih seseorang calon hanya kerana diberikan wang.

“Anak muda sekarang berfikiran lebih matang kerana mereka berpendidikan dan tahu apa yang lebih baik untuk masa depan mereka dan keluarga,” katanya.

Syed Saddiq juga menafikan Undi-18 memberi kelebihan hanya kepada parti Muda sebaliknya ia adalah kelebihan buat golongan muda kerana semua pihak berlumba menarik sokongan mereka.

“Dalam Undi-18 dan daftar undi automatik kita boleh lihat semua parti politik mahu mengetengahkan calon anak-anak muda.

“Mereka juga lebih banyak membincangkan isu-isu yang dekat dengan generasi muda ketika ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *