SOP PRN Johor kesihatan awam

SOP PRN Johor hampir muktamad, berbeza ekoran Omicron

PROSEDUR operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini berada di fasa akhir penelitian Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementeriannya masih meneliti SOP PRN Johor dari segi penilaian risiko memandangkan pilihan raya itu akan dilaksanakan dalam persekitaran berbeza berbanding PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini susulan penularan varian Omicron dalam negara.

“Apa yang kita tahu adalah SOP bagi PRN Melaka berjaya, tiada kenaikan ketara pada angka kes, dan begitu juga dengan SOP bagi PRN Sarawak.

“Tetapi SOP PRN Johor lain sedikit kerana kini kita ada penularan wabak varian Omicron,” katanya pada sidang media pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, adalah tidak mustahil untuk angka kes COVID-19 naik ekoran PRN Johor tidak lama lagi.

“Dengan adanya Omicron, untuk mengatakan tidak akan ada peningkatan ketara pada jumlah kes, saya tidak boleh jamin. Tapi apa yang kita lihat di Johor ini, keseriusan kes dan kemasukan ke hospital tidak akan meningkat dengan mendadak tetapi akan ada kenaikan kes,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai SOP bagi ibadah umrah yang kembali dibenarkan bermula 8 Feb ini, beliau berkata prosedur itu kini sedang dimuktamadkan dan akan dibentang dalam masa terdekat.

“SOP bagi umrah, Pengarah Kawalan Penyakit KKM Datuk Dr Norhayati (Rusli) sedang muktamadkan, hari ini atau esok beliau akan bentangkan kepada saya,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan umat Islam di negara ini boleh kembali mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Feb ini selepas ditangguhkan sementara pada 8 Jan lepas berikutan peningkatan varian Omicron COVID-19 dalam kalangan jemaah.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, KKM akan mengusulkan kepada kerajaan pembukaan semula sempadan negara dan lain-lain kelonggaran seperti tempoh kuarantin apabila kadar pemberian dos penggalak untuk dewasa dan vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak mencapai tahap lebih baik.

Beliau berkata, walaupun kadar pemberian dos penggalak untuk golongan dewasa telah melepasi 50 peratus setakat hari ini, beliau masih mahu melihat angka lebih tinggi sebelum membuat cadangan pembukaan semula sempadan serta kelonggaran lain.

“KKM sedang menjalankan perbincangan dalaman apakah nilai ambang yang kita rasa selesa daripada segi pemberian vaksin kepada kanak-kanak dan dos penggalak. Kita akan membuat usul kepada mesyuarat kuartet.

“Saya mahu lihat sedikit lagi (kadar dos penggalak). Saya merayu, kepada mereka yang masih belum mendapatkan dos penggalak untuk berbuat demikian dan ibu bapa untuk daftarkan anak-anak mereka,” katanya.

Menurut Khairy, setakat ini, 30 peratus daripada golongan warga emas belum menerima dos penggalak mereka manakala untuk kumpulan remaja dan kanak-kanak, pakar belum mengesyorkan pemberian suntikan tersebut.

Sementara itu, beliau juga menyeru orang ramai supaya tidak panik dengan jumlah kenaikan kes COVID-19 kebelakangan ini dan menjangkakan angka itu akan terus meningkat khususnya akibat penularan varian Omicron.

“Apa yang kita perlu lihat sekarang adalah pada keseriusan kes dan bukannya pada angka kes. Jika kita lihat pada kes semata-mata sudah tentu kita akan bimbang tapi kita jangan panik.

“KKM sentiasa memantau data-data penting ini dan apa yang kita lihat sekarang adalah lebih banyak penginapan singkat di hospital. Setakat ini kita melihat peningkatan kes tidak berkaitan dengan keseriusan kes,” katanya.

Khairy turut memaklumkan KKM sedang memantau perkembangan subvarian baharu Omicron seperti dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada Selasa.

Mengenai kluster pendidikan, beliau berkata, buat masa ini terdapat 180 kluster jenis itu yang aktif dengan kebanyakan kes bagi tempoh 1 Jan hingga 5 Feb dilaporkan di sekolah berasrama, namun tidak melibatkan kes serius selain tiada kes kategori empat dan lima dilaporkan.

Kluster pendidikan antaranya melibatkan 108 kluster di sekolah menengah asrama, sekolah menengah harian (12 kluster), sekolah rendah harian (13 kluster), prasekolah (10 kluster) dan kolej berasrama (19 kluster), manakala sekolah yang tutup akibat COVID-19 adalah 14 sekolah. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *