Ketua AMK Pusat ‘kunci mulut’ tanding PRN Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir ‘mengunci mulut’ berkenaan spelukasi beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Akmal tidak mengesahkan atau menafikan spekulasi tersebut sebaliknya Ahli Parlimen Johor Bahru itu menyerahkan persoalan itu kepada kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya hanya buat kerja seperti biasa kerana Parlimen Johor Bahru masih di bawah PKR, jadi ini memang tanggungjawab saya.

“Sama ada nama saya ada dalam senarai calon PKR yang akan bertanding nanti, itu boleh tanya dengan kepimpinan Pusat,” katanya ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Ayam Segar di Taman Suria, Johor Bahru, hari ini.

Akmal Nasrullah mengulas spekulasi yang mendakwanya akan bertanding PRN itu selepas kini dilihat semakin aktif terlibat dalam program.

Sekiranya beliau mengambil keputusan bertanding dijangka bertembung dengan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang menawarkan diri untuk bertanding dalam PRN Johor namun tidak mendedahkan kawasan yang akan ditandingi.

Mengenai senarai lengkap calon PKR yang akan bertanding, beliau berkata, pucuk pimpinan parti akan memuktamad dan mengumumkannya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting berhubung PRN Johor.

“Ketika ini kita masih tunggu keputusan dibuat SPR kerana banyak khabar angin (termasuk) ada negeri lain turut goyang (situasi politik tidak stabil dan kemungkinan juga diadakan PRN),” katanya.

Menurutnya, AMK menyasarkan 30 peratus atau enam kerusi daripada 20 kerusi DUN yang diperuntukkan kepada PKR dalam PRN Johor.

“Bagi saya, apa yang penting bukan sahaja meletakkan calon yang berpotensi tinggi untuk menang, tetapi juga mempunyai kelayakan dan ciri-ciri kepimpinan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *