BELUM ada aduan rasmi yang diterima oleh Lembaga Disiplin Bersatu mengenai dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, Datuk Zuraida Kamaruddin terlibat dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Memetik laporan BH, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, aduan bertulis perlu dikemukakan oleh pentadbiran Bersatu atau mana-mana bahagian parti sebelum tindakan lanjut diputuskan.

“Lembaga perlu mendapat aduan secara bertulis seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti. Jika tidak terima laporan atau aduan, bagaimana kita hendak bertindak?” katanya kepada BH.

Kelmarin, Ahli MPT BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, parti itu sedang menyiasat dakwaan ‘tindakan meragukan’ oleh Zuraida yang dikatakan terbabit dengan PBM.

Isu mengenai Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dibangkitkan ketika Mesyuarat MPT parti 25 Januari lalu, yang antara lain menyentuh kemungkinan beliau perlu dipecat kerana pembabitannya dengan PBM.

Megat Najmuddin menambah, situasi adalah berbeza jika Zuraida keluar parti di mana Lembaga Disiplin Bersatu tidak boleh mengambil apa-apa tindakan.

“Jika beliau keluar parti, Lembaga Disiplin tidak boleh berbuat apa-apa. Jika ada aduan daripada pihak MPT atau ahli MPT barulah kita boleh melakukan siasatan,” jelasnya.

Zuraida dikaitkan menyertai PBM dan dilaporkan terdapat perbincangan pimpinan Bersatu berkaitan isu pemecatan Ahli Parlimen Ampang itu dan individu lain yang didakwa terlibat dengan parti baharu terbabit seperti ditulis Malaysiakini.

Bagaimanapun Muhammad Faiz berkata, tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi berkaitan spekulasi mengenai Zuraida itu.

Wan Saiful berkata, apa yang diketahuinya Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu masih kekal sebagai Ahli MPT Bersatu dan ahli parti itu sehingga kini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here