Jangan bimbang, pergaduhan itu cuma salah faham sesama peniaga

INSIDEN pergaduhan di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama, Pulau Pinang yang tular dalam laman sosial Facebook sejak Rabu lalu dikatakan berpunca daripada salah faham antara peniaga di situ.

Berikutan itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama, Asmadi Mohd Razali menafikan spekulasi di media sosial yang mengatakan pergaduhan berkenaan membabitkan pelanggan dengan peniaga.

“Insiden itu berpunca daripada salah faham dan masalah peribadi antara dua peniaga di situ sejak sekian lama dan ia sudah diselesaikan dengan baik.

“Ia tidak membabitkan kerosakan harta benda, kecederaan antara peniaga atau pelanggan dan perbalahan itu hanya berlaku sebentar saja,” katanya memetik Harian Metro.

Asmadi berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 11 malam pada Selasa ketika kebanyakkan peniaga sedang mula mengemas barangan untuk menutup premis masing-masing pada pukul 12 malam.

“Memang ada pelanggan yang masih menikmati makanan pada ketika itu namun tidak ramai,” ujarnya.

Rakaman insiden yang tular sejak semalam itu memaparkan sekumpulan lelaki yang terlibat dalam pergaduhan itu membaling kerusi dan beberapa barangan lain ketika pengunjung sedang menikmati hidangan mereka.

Video berdurasi 1 minit 12 saat itu mendapat perhatian netizen sehingga ramai mendakwa pergaduhan itu berlaku kerana berebut pelanggan.

Ekoran itu, Asmadi memohon orang ramai untuk tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga mencemarkan imej kompleks makanan berkenaan.

Pada masa sama, pihaknya turut memberikan jaminan kompleks yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung ke Pulau Pinang itu, selamat untuk dikunjungi.

“Dalam perniagaan, di mana-mana pun boleh berlaku salah faham, dan peniaga lain atau pelanggan tidak perlu bimbang kerana ia sudah diselesaikan dengan baik.

“Terdapat 32 gerai makanan dan minuman di sini yang menjadi tumpuan pengunjung ketika ke Pulau Pinang bagi menikmati hidangan seperti laksa, pasembor, rojak, jeruk, cendol dan lain-lain lagi,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *