MAHKAMAH Sesyen di Melaka hari ini menjatuhkan hukuman didenda RM10,000 ke atas pemilik kedai makan selepas mengaku bersalah menggunakan perkataan halal tanpa perakuan daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada buku menu.
Joanne To Mei Ting, 30, yang berbaju kurung coklat, mengaku bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin, lapor Sinar Harian hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemilik tunggal Tipsier Bridge Cafe Waronk memperakui bahawa makanan di kafe itu adalah halal dengan ungkapan halal pada lapan buku menu tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis perniagaan Tipsier Bridge Cafe Waronk di Kampung Pantai, Melaka, pada 6.30 petang, 5 Mac tahun lalu, mengikut perintah 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Syazwani Zawawi mencadangkan denda tinggi diberikan kepada tertuduh kerana halal adalah isu sensitif selain mengambil kira lokasi kedai makan itu di kawasan pelancongan.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan perlu menyara anak dan ibu yang sakit.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan tertuduh didapati membayar jumlah denda tersebut.
Leave a Reply