geng sakai

Bicara 22 anggota Geng Sakai mula Mei, tarikh dirahsiakan

SERAMAI 22 individu yang didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang Geng Sakai akan bermula Mei ini namun tarikh sebenar tidak didedahkan atas faktor keselamatan.

Memetik laporan BH, Timbalan Pendakwa Raya, Maryam Jamielah Manaff berkata, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 30 Mei ini sebagai permulaan perbicaraan ketika pengurusan kes hari ini.

“Mahkamah menetapkan beberapa tarikh pada Mei, Jun, Julai, September, Oktober dan Februari tahun depan untuk perbicaraan.

“Kita menjangkakan akan memanggil antara 50 hingga 70 saksi untuk perbicaraan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Pada 24 September tahun lalu, seramai 22 individu termasuk ketua kumpulan, Rosli Sahak mengaku tidak bersalah menganggotai kumpulan jenayah terancang itu di Flat Sri Selangor dekat Jalan San Peng antara Januari 2015 dan Jun 2021.

Seramai 21 individu lain terdiri daripada A Ravindran; A Uthayakumar; S Sathiaseelan; T Kumar; A Kumaresan; N Tanasilan; Thirumal Raj; M Darshan; A Dineswaran; S Mohanraj; R Nantha Kumar; S Gobinath; M Ravishankar; M Thinesh; N Tannish; S Sagadevan; Mohamad Faisal Mohamad Sharif; Sukhdave Singh Jesvir Singh; R Logeswaran; R Tannesh dan A Jayaprakash.

Mereka yang berumur antara 18 hingga 47 tahun itu dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan bersalah akan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Polis menahan ketua Geng Sakai itu bersama 23 anggota kumpulan lain selepas melakukan serbuan di Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak.

Dalam operasi yang diberi nama kod ‘Op Fortress’ itu, polis turut menahan seorang pelajar berusia 14 tahun, dipercayai salah seorang anggota kumpulan yang aktif.

Kumpulan itu yang aktif sejak 2012 dan dipercayai bertanggungjawab melakukan beberapa jenayah terancang termasuk penjualan dadah, membunuh, merekrut ahli kumpulan samseng, membawa senjata api secara haram serta jenayah kekerasan lain di ibu negara.

Ia diketuai seorang lelaki berusia 47 tahun dikenali sebagai Sakai dengan di bawahnya ada kira-kira 50 ahli manakala ahli paling muda dalam kumpulan itu setakat ini ialah remaja lelaki berusia 14 tahun.

Pemeriksaan polis menunjukkan beberapa suspek termasuk ketuanya pernah ditahan dan pernah dijatuhkan hukuman dan bila dibebaskan, mereka kembali aktif.

Selain dadah, turut dirampas dalam serbuan itu adalah Porsche Macan, Ford Ranger, Mercedes Benz, Mazda dan wang tunai berjumlah RM21,660 manakala nilai rampasan keseluruhan adalah RM1.73 juta.

Polis sedang memburu sembilan lagi suspek yang dikaitkan dengan Geng Sakai.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *