YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permasuri Agong Hajah Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan menimang dua orang cucu baru-baru ini.
Khabar gembira itu dikongsikan menerusi Instagram rasmi Istana Negara sekitar pukul 11 pagi tadi.
“Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Alllah SWT atas limpahan rahmat dan inayah-Nya, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dikurniakan dua cucunda baru-baru ini,” kata hantaran itu pada kapsyen.
Menariknya, jarak tarikh lahir dua cucu baginda yang masing-masing berjantina lelaki dan perempuan itu hanya selang dua hari.
Menurut hantaran itu, Tengku Nuh Muhammad Shah Ibni Tengku Panglima Raja Amir Nasser diputerakan pada 31 Januari lalu, manakala Tengku Aleya Norlini Shah Tengku Abu Bakar Ahmad pada 2 Februari 2022.
“YM Tengku Nuh Muhammad Shah merupakan anakanda ketiga YAM Tengku Panglima Raja Amir Nasser Ibrahim Shah dan Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan.
“Manakala YM Tengku Aleya Norlini Shah pula merupakan anakanda kedua YM Tengku Abu Bakar Ahmad dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan,” kata hantaran itu lagi.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai memanjatkan rasa syukur dan menzahirkan ucapan tahniah buat baginda sekeluarga.
“Syukur Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada Tuanku dan keluarga, semoga dilimpahkan banyak rezeki dan kesihatan berterusan Aamin,” tulis @mahmud9018 di ruangan komen.
“Tahniah Tuanku, patik ingatkan kembar tadi Tuanku…,” ujar @nurhaisahsaikit
“Selang beberapa hari je, Tahniah Tuanku!” kata @taimshah.
Leave a Reply