Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
DUA bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak wajar menuding jari terhadap parti itu selepas mereka sendiri gagal semasa menjadi wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri.
Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Abdull Bakar Ali mempersoalkan alasan mereka mengundurkan diri kerana Bersatu tiada hala tuju dan hilang kepercayaan terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, kedua-dua ADUN itu tidak sewajarnya meletak kesalahan terhadap parti dan sekiranya benar parti hilang hala tuju, mereka sebagai wakil rakyat serta Exco boleh memperbetul dan menyumbang idea terhadap parti.
“Sebagai ADUN dan Exco, apakah peranan dan sumbangan mereka terhadap rakyat dan juga parti yang diwakili mereka? Bukankah membawa parti ke tahap yang lebih baik adalah tanggungjawab beliau sebagai ADUN dan Exco juga?
“Kenapa mesti menunding jari dan meyalahkan parti sedangkan parti berusaha dan memberi peluang kepada mereka untuk mengalas tanggungjawab membantu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sabtu lalu, Mohd. Izhar Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor mengumumkan keluar Bersatu kerana memdakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan dan hala tuju parti.
Sebelum itu pada Rabu, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor turut mengumumkan keluar parti atas sebab yang sama.
Mengulas lanjut, Abdull Bakar berkata, alasan serta tindakan kedua-dua ADUN itu membuktikan mereka sendiri gagal selepas diberikan peluang sedangkan ramai lagi ahli parti yang lebih berkebolehan, berkaliber dan berintigriti.
“Mereka boleh dianggap pada dasarnya kegagalan peribadi dan konflik peribadi terhadap pucuk pimpinan parti.
“Bersatu tidak hilang hala tuju dan penubuhannya semakin dapat menyakini hati rakyat, akan tetapi kemungkinan mereka sendiri yang hilang hala tuju dan apabila berhasrat meninggalkan parti tak perlu lagi menunding jari kepada parti,” katanya.
Kata beliau, kenyataan mereka untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah suatu yang subjektif sekali gus membuktikan lagi kegagalan mereka.
Selain itu katanya, dakwaan mereka bahawa generasi muda harus diberi peluang dan BN diharap diberi laluan memerintah bagi memastikan usaha membantu rakyat keluar daripada pandemik Covid-19 dan kemelut ekonomi, adalah alasan dangkal.
“Pandemik Covid-19 bukan sahaja masalah seluruh negara malah seluruh dunia, kesannya dirasai oleh setiap lapisan masyarakat, golongan peniaga dan usahawan.
“Ini termasuk kehilangan pekerjaan, ekonomi merundum, perniagaan gulung tikar dan sebagainya. Jadi semasa diberi tanggungjawab sebagai Exco, apakah yang beliau lakukan dan memberi impak membantu rakyat?
“Sebagai contoh ramai peniaga berdaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengisi borang untuk mendapat bantuan yang dijanjikan tetapi hampa serta tiada jawapan dari pihak wakil rakyat. Adakah beliau mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI),” soalnya.
Leave a Reply