- Pemimpin UMNO tak payahlah ‘teruja’
NAMPAKNYA beberapa pemimpin kanan UMNO termasuklah Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dilihat ‘agak teruja’ dengan langkah dua ADUN Bersatu meninggalkan parti itu.
Maka berkatalah Ahmad Zahid ‘’ia kesahihan berhubung perkara itu (ADUN keluar Bersatu) pada akhirnya empunya diri jua ada jawapan. Namun jikalah benar, ia suatu refleksi yang jelas lagi nyata. Parti yang suatu ketika dulu mendabik dada akan menggantikan UMNO sedang menghadapi defisit keyakinan dalam kalangan pemimpin sendiri.’’
Hebat Ahmad Zahid berhujah! Cuma TT (Tebuan Tanah) nak ingatkan janganlah teruja sangat.
TT tak nak ulas panjang pasal dua ADUN tu, biarlah tu hak mereka. Biasalah macam juga hubungan lelaki dan perempuan. Masa bercinta semua indah, selepas berkahwin semua ok tetapi bila dah bercerai semua buruk. Begitulah juga dengan alasan dua ADUN itu yang kata mereka hilang keyakinan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kelakar pula bila Ahmad Zahid nak buat kesimpulan , ia menunjukkan Bersatu sedang hadapi defisit keyakinan. Ahmad Zahid ‘checkla’ dulu berapa ramai yang ikut mereka, kaji sikit ‘perjalanan’politik dua ADUN itu, adakah tindakan mereka akan untungkan UMNO dalam PRN Johor?
Lagipun bak kata kawan TT, keluar parti lain masuk UMNO ini bukanlah taktik baru, dah lapok dah. Tambahan pula bila nak ada pilihan raya di Johor. Semua orang tau, tu negeri Muhyiddin, jadi UMNO memang tak sabar-sabar lagi nak menang untuk lemah Bersatu dan Muhyiddin.
Tapi TT nak ingatkan jangan ghairah sangat! Dalam pilihan raya macam-macam boleh berlaku. Semasa TT bertemu beberapa sumber di Johor semalam, macam-macam TT dengar termasuklah di banyak bahagian UMNO dah berlaku perebutan nak jadi calon, maklumlah semua sudah ‘dirasuk’ keyakinan UMNO akan menang besar.
Jadi daripada Ahmad Zahid dok menyibuk hal Bersatu, lebih baik beliau tumpukan pastikan UMNO benar-benar boleh menang besar di Johor, sebab kalau BN kalah atau menang sekadar ‘cukup makan’ apatah lagi dok harap pengundi luar tak balik dan peratusan keluar mengundi rendah, yang berhadapan krisis keyakinan bukan Bersatu tetapi Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN.
- Di mana maruah Pas jika….
DALAM seminggu dua ini ‘seronok sungguh’ pemimpin UMNO khususnya dari Johor ‘belasah’ Pas. Macam-macam mereka kata kat Pas…kadang-kadang TT tengok bahasa yang digunakan dah melampau, macamlah Pas tak ada maruah, kalaulah TT ni ahli atau penyokong dah pasti TT akan ‘terluka’.
Tetapi TT tak nak salahkan secara total pemimpin UMNO yang buat macam itu, sebaliknya TT nak minta pemimpin, ahli dan penyokong Pas bermuhasabah… kenapa semua jadi macam ni? Kenapa begitu sekali Pas diperlekehkan dan dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’.
TT dok dalam kalangan pemimpin Pas berpecah! Ni bukan rahsia lagi..semua orang boleh nampak. Satu puak mahu PN, satu puak lagi mahu MN. Yang nampak sokong PN sebenarnya mahu MN tetapi dok berlapik dengan ayat ‘demi perpaduan ummah’. TT setuju dan sokong 100 peratus usaha menyatukan ummah tetapi TT nak tanya dalam politik ada ke perpaduan ummah?
Kalau betul-betul nak perpaduan ummah janganlah ada pemimpin Pas bagai ‘nak rak’ pertahan MN tetapi dok beri bayangan ‘perpaduan ummah’ itu hanya untuk UMNO dan Pas. Jadi lebih baik tak payah bercakap pasal perpaduan ummah. Kalau nak buat juga jangan libat politik. Bila pilihan raya masing-masing bawalah haluan sendiri. Biar rakyat pilih.
Sekarang Bersatu dan Pas dah sepakat bersama PN dalam PRN Johor, maknanya itulah platform gabungan politik Pas, jangan lagi ada pemimpin Pas dok mencanangkan soal MN. MN bukan gabungan politik! Lagipun UMNO pun sudah cukup yakin untuk bergerak solo terutamanya di negeri Selatan.
Dalam PN pun, Pas cukup dihormati, apa yang Pas minta itu yang mereka dapat…bukannya diperlekeh ibarat ‘ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi’ macam sesetengah pemimpin UMNO buat kat Pas.
UMNO tahu Pas tak kuat di negeri-negeri selatan, jadi mereka tak layan Pas. Paling kesian tengok Pas ini, bila ada pemimpin UMNO cakap ikut sedap mulut aje kat Pas. Jadi kalau ada pemimpin Pas masih lagi nak bersama UMNO dan ada penyokong Pas nak undi calon UMNO dalam mana-mana pilihan raya…memang sah lah, mereka nak biar maruah Pas terus diperkotak-katikkan.
TT nak nasihatkan kepada segelintir pemimpin Pas yang dok ‘mengigau’ lagi pasal MN dan harap sangat UMNO-Pas bersama dalam pilihan raya…hentilah ‘khayalan’ tu.TT nak tanya satu sahaja, ketika beberapa pemimpin Pas begitu ghairah pertahan MN sehingga Pas dilihat berpecah belah, ada atau tidak pemimpin UMNO yang sokong mereka? Ada tak pemimpin UMNO kata, kena pertahan MN? Ada tak mereka berhujah seperti mana pemimpin Pas yang sanggup ‘bantai’ pemimpin sendiri demi MN?
Kalau tidak ada….maka janganlah merendahkan martabat Pas sehingga memberi ruang kepada segelintir pemimpin UMNO ‘bertaraf batu api’ memperlekehkan Pas .
Daripada dok habiskan masa sampai ‘nak melutut’ kat UMNO, lebih baik seluruh pemimpin dan penyokong perkukuhkan PN.Pastikan perikatan itu menang dalam mana-mana juga pilihan raya. Jangan bagi satupun undi kepada calon BN, walaupun di kawasan itu Pas tak bertanding. Itu sahaja cara nak bagi ‘signal’ kat UMNO janganlah angkuh sangat!
*Tebuan Tanah (TT) adalah penganalisis politik yang mempunyai lebih 30 tahun berpengalaman dalam dunia kewartawanan.
Leave a Reply