PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyindir UMNO yang disifatkan bersikap seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.
Beliau mengulas tentang tindakan UMNO memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar yang ditempuh Muafakat Nasional (MN).
“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.
“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.
“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” katanya ketika menjawab soalan pemberita dalam rakaman video yang dimuat naik melalui laman Facebook miliknya, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu menegaskan kembali pendirian PAS untuk meneruskan kerjasama dalam kerangka MN dan Perikatan Nasional (PN).
Beliau percaya bahawa MN sepatutnya turut dianggotai Bersatu dan parti-parti bukan Melayu.
Abdul Hadi mendakwa, perkara itu sudah pun dipersetujui sebelum ini bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) yang dianggap tidak lagi relevan.
“Kalau PAS dan UMNO sahaja, perpaduan Melayu sahajalah. Mana kaum lain? Mana orang lain?” soalnya.
Hubungan antara PAS dan UMNO semakin meruncing apabila BN Johor memutuskan untuk bertanding secara solo pada PRN Johor.
PAS juga menolak tawaran kerusi boleh menang yang ditawarkan UMNO sekali gus meningkatkan kemungkinan senario PRN Melaka di mana calon-calon PAS dan UMNO bertembung akan berulang.
Leave a Reply