SEORANG tebusan maut dan seorang lagi tidak sedarkan diri di hospital dalam satu kejadian penahanan tebusan berhampiran Tokyo, Jepun yang bermula pada Khamis malam, lapor Xinhua.
Polis Jepun berjaya menangkap seorang lelaki berusia 66 tahun yang menyerang tiga pekerja perubatan yang datang melawatnya.
Dalam insiden selama 11 jam itu, yang bermula kira-kira pukul 9.00 Khamis malam, lelaki itu menembak mati seorang doktor lelaki berusia 44 tahun.
Polis menemui doktor yang merawat lelaki itu tanpa sebarang tanda nyawa dan kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.
Pekerja perubatan tiba di rumah lelaki itu di wilayah Saitama, dekat Tokyo, untuk menyampaikan sokongan dan ucapan takziah berikutan kematian anggota keluarga lelaki itu.
Menurut laporan tempatan, penyerang, bernama Hiroshi Watanabe, memiliki senjata yang dikatakan seperti senapang pemburu.
Seorang lagi pekerja perubatan, ahli fisioterapi berusia 41 tahun yang ditembak di perut oleh Watanabe, masih tidak sedarkan diri, menurut laporan tempatan.
Seorang lagi pekerja perubatan turut dimasukkan ke hospital kerana disembur dengan gas pemedih mata oleh Watanabe, kata polis.
Kira-kira 110 penduduk tempatan telah dipindahkan, dan sekolah rendah dan menengah di kawasan itu ditutup pada Jumaat.- Bernama
Leave a Reply