MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu isteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, berkata, bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette itu adalah strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.
“Saya menghubungi Datin Seri (Zizie Izette) mengatakan pelaburan dibuat Felcra (RM150 juta) sudah berjaya dan pada masa sama, saya mendapat komisen daripada pelaburan itu. Saya kemudian beritahu kepada Datin Seri yang saya ingin memberikannya wang pengenalan itu.
“Saya pakar (pelaburan) dalam menceritakan kepada rakyat Malaysia mengenai kehebatan unit amanah tetapi saya tidak boleh masuk ke dalam syarikat besar yang tidak tahu mengenai apa saya buat,” katanya.
Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Menyentuh mengenai komisen yang diperoleh selepas berjaya mendapatkan pelaburan (RM150 juta) itu, Norhaili berkata, beliau dan Madhi Abdul Hamid, 43, yang juga ejen (Public Mutual) masing-masing memperoleh komisen RM2.9 juta.
“Apabila mendapat komisen itu, saya dan Madhi berbincang mengenai pengurusan komisen itu dengan mengambil kira faktor seperti pengurusan pelaburan Felcra dan kos operasi jangka panjang kerana pelaburan ini mengambil tempoh lebih tujuh tahun untuk matang dan kami juga ambil kira kos cukai untuk diuruskan dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Semasa disoal Law mengapa Zizie Izette perlu dibayar RM2.8 juta, saksi itu berkata, Zizie Izette layak menerima wang pengenalan itu setelah mengambil kira segala perbelanjaan kos, cukai dan faedah bulanan selagi pelaburan Felcra di bawah jagaannya.
“Kalau saya…saya tidak nampak jumlah itu besar tetapi saya melihat penjagaan akaun Felcra untuk jangka panjang. Ia (wang pengenalan) layak untuk Datin Seri Zizie Izette.
“Seingat saya pembayaran wang pendahuluan RM2.2 juta itu dalam bentuk cash (tunai) di Public Bank di Melawati diuruskan oleh Madhi, selebihnya RM800,000 dimasukkan semula ke dalam Public Mutual Berhad atas nama Datin Seri Zizie Izette,” kata Norhaili.
Ditanya Law mengapa pihak Public Bank hanya membayar RM2.2 juta sedangkan RM2.8 juta sepatutnya dibayar Zizie Izette, saksi itu berkata: “Pada waktu itu Public Bank tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi dan saya juga telah menasihatkan Datin Seri (Zizie Izette) untuk membuat pelaburan di Public Mutual Berhad.
“Saya juga menasihatkan Datin Seri Zizie Izette untuk melabur antara RM600,000 hingga RM800,000 dan ia diuruskan oleh Madhi dan seorang lagi konsultan Public Mutual,” kata Norhaili.
Bagaimanapun, saksi itu tidak dapat mengingati berapa jumlah cek yang telah dikeluarkan namun cek itu tertera nama Public Mutual Berhad dan nombor kad pengenalan Zizie Izette.
Dalam prosiding itu, Norhaili berkata, tiada elemen rasuah dan permintaan rasuah daripada Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette manakala wang RM2.8 juta yang diberikan kepada pelakon itu bukan rasuah, sebaliknya adalah wang pengenalan.
Norhaili akan menyambung keterangannya pada 14 Februari ini.
Pada prosiding itu, peguam Datuk K. Kumaraendran mewakili Zizie Izette dan M. Athimulan bertindak bagi pihak Bung Moktar.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, 64, yang adalah Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – Bernama
Leave a Reply