PEMUDA Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang Muda) mendakwa jemputan Majlis Presiden PH baru-baru ini agar semua parti pembangkang bekerjasama adalah tidak ikhlas.
Naib Ketua Pejuang Muda, Nik Fathurahman Nik Rasli berkata, walaupun idea itu, yang disifatkannya sebagai satu ‘payung besar’, tampak baik dari segi teori dan lunak didendang sebagai panggilan bertindak, ia tidak lebih sekadar retorik politik.
Beliau mendakwa, ini kerana sikap ‘abang besar’ yang ditunjukkan PKR dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta ‘konco-konco reformisnya’ menjadi penghalang utama yang menghindarkan parti pembangkang lain daripada terlibat.
“Ini dibuktikan melalui tindakan PKR yang mahu menggunakan logonya sendiri berbanding logo PH. Malah, saya difahamkan Anwar belum lagi menghubungi mana-mana kepimpinan Pejuang untuk rundingan.
“Kenyataan bersama Presiden Amanah dan Setiausaha Agung DAP hari ini yang seolah-olah kecewa namun terpaksa akur juga adalah petunjuk kejelikan mereka kepada sikap ‘abang besar’ PKR,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Nik Fathurahman mengulas kenyataan Majlis Presiden PH yang sebelum ini mencadangkan parti-parti pembangkang bekerjasama untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Beliau memberitahu, gagasan ‘payung besar’ ternyata hanya halwa mulut.
“Anwar mahu strategi ‘payung besar’ gagal, justeru dengan sengaja mencari jalan bagi mensabotaj idea yang asalnya datang dari DAP dan Amanah.
“Berani saya katakan juga, bahawa PKR atau Anwar mahu keseluruhan struktur dan kewujudan PH itu gagal,” katanya lagi.
Leave a Reply