PERTIKAMAN lidah dalam kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) ekoran isu penggunaan logo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hangat.
Terbaharu, Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berpandangan, logo PH tidak sepatutnya dianggap sebagai beban bagi gabungan pembangkang itu.
Sebaliknya, beliau mendakwa, PH sebenarnya sedang menanggung ‘biawak hidup’ dan gelaran itu ditujukannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebenarnya bukan PH yang banyak ‘baggage’ tetapi PH yang sedang menanggung ‘biawak hidup’ bernama Anwar Ibrahim yang senantiasa mengamalkan percaturan politik lapuk yang sudah tidak relevan,” katany dalam ciapan Twitter, hari ini.
Khairuddin turut memuatkan tangkap layar laporan Malaysiakini semalam bertajuk ‘PKR using own logo in Johor as Harapan’s has baggage’ yang menyiarkan kenyataan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mempertahankan pendirian partinya.
Dalam laporan tersebut, Nik Nazmi berkata, walaupun terdapat pencapaian semasa era kerajaan PH dahulu, logo PH juga dikaitkan dengan banyak kekurangan.
Beliau juga percaya, logo PKR juga jauh lebih dikenali berbanding logo PH, yang merupakan faktor penting dalam kerusi separa luar bandar di mana PKR sering bertanding.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu menambah, logo PH tidak benar-benar membantu gabungan itu semasa PRN Melaka November lalu kerana ia tidak dikenali oleh pengundi.
Nik Nazmi berkata, logo PKR juga digunakan untuk kejayaan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sementara logo PH masih belum diuji secara meluas.
Semalam, Majlis Presiden PH bersetuju untuk DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo PH pada PRN Johor akan datang.
Selain itu, majlis berkenaan turut bersetuju untuk PKR menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya itu.
Leave a Reply