hashim jasin pas muhyiddin pembangkang

Hashim tegur pimpinan bawahan PAS serang sekutu MN, PN

PANDANGAN dan pendirian pimpinan bawahan dalam PAS bukan suara yang mewakili parti, demikian tegas Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.

Beliau yang kesal dengan insiden serang menyerang menggunakan media antara pimpinan PAS dan UMNO menegaskan, jika ada dalam kalangan pemimpin bawahan atau ahli yang memberi pendapat termasuk menyerang rakan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN, itu adalah pandangan peribadi individu terbabit semata-mata.

“Itu bukan pendirian parti, tak perlu diperbesar-besarkan di media. Lainlah kalau yang bercakap itu Presiden, Timbalan Presiden atau Ketua Penerangan.

“Benda-benda yang kecil begini sepatutnya dielakkan daripada bertembung sesama sendiri,” katanya, hari ini.

Hashim mengulas perbuatan ‘serang menyerang’ oleh segelintir pemimpin PAS yang degil kerana tetap menggunakan media sebagai medan untuk mencetuskan perbalahan sesama rakan dalam MN dan PN lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Sebelum ini, beliau pernah mengingatkan kepada semua pemimpin dan ahli parti supaya mereka mengelak daripada menjadikan media sebagai medium perantara bagi menyelesaikan krisis atau pertikaian sesama parti dalam MN dan PN.

Hashim berkata, pelaksanaan dan kejayaan untuk mewujudkan perpaduan ummah bukan kerana UMNO atau Bersatu, sebaliknya ia adalah perintah daripada Allah SWT.

Beliau sehingga kini bagaimanapun berpuas hati dengan pencapaian yang ada namun tidak menafikan masih wujud perbezaan pendapat dalam kalangan tiga parti dominan Melayu Islam itu.

“Kita dapat mengurangkan tekanan adalah satu kejayaan berbanding dulu dan saya yakin kalau berlaku seperti di PRN Melaka maka suasana harmoni iaitu tak serang menyerang akan berlaku.

“Kita sudah bergerak ke arah perpaduan ummah, kita berada pada landasan yang betul,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *