Tag: Hashim Jasin

  • Gabungan parti Islam ‘perintah Tuhan’, Hashim minta UMNO kembali ke MN

    Gabungan parti Islam ‘perintah Tuhan’, Hashim minta UMNO kembali ke MN

    UMNO diminta mempertimbangkan semula kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN), kata Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang menggunakan frasa ‘perintah Tuhan’ untuk menegaskan keperluan penyatuan tiga parti Islam untuk berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hashim berkata, PAS tetap dengan pendirian mewujudkan perpaduan ummah membabitkan MN yang dahulunya dianggotai partinya serta UMNO dengan Perikatan Nasional (PN) diketuai Bersatu kerana ia telah diterima akar umbi.

    Menurutnya, gesaan supaya umat Islam bekerjasama adalah perintah Tuhan bukannya seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Perpaduan ummah ini perintah dari Tuhan, bukan dari presiden UMNO, presiden PAS atau presiden Bersatu. Ini Tuhan yang suruh, jadi UMNO pun Islam, PAS pun Islam, Bersatu pun Islam kita kena tunduk kepada Tuhan,” katanya kepada FMT.

    Sehubungan itu, Hashim meminta UMNO kembali kepada perpaduan MN dan mengingati semula piagam perpaduan ummah ditandatangani yang pada perenggan akhir menjelaskan sebarang perselisihan perlu dirujuk kepada “Allah dan Rasul”.

    “Kenapa tak rujuk? Allah suruh apa, Rasul suruh apa, memang ada perselisihan (antara UMNO, Bersatu) jadi yang boleh maaf, maaflah.

    “Sebab itu apa pun keputusan UMNO ke arah perpisahan dan pembatalan perjanjian, PAS tak batal, kita terbuka kalau sekiranya pemimpin yang ada sekarang tak mahu tetapi pemimpin akan datang mungkin mahu perpaduan,” katanya.

    UMNO sebelum ini menolak penyertaan Bersatu dalam MN menyebabkan hubungan dengan PAS semakin renggang sehingga membawa kepada pembentukan PN.

    Pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, parti itu memuktamadkan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 dan menolak pembentukan gabungan politik bersama PN.

    Pada pilihan raya negeri di Johor dan Melaka, berlaku pertembungan di antara calon Pas, UMNO dan Bersatu yang menyaksikan kebanyakan kerusi UMNO mewakili Barisan Nasional (BN).

  • Beza pandangan dalam PAS tak pecahkan parti – Mursyidul Am

    Beza pandangan dalam PAS tak pecahkan parti – Mursyidul Am

    MURSYIDUL Am PAS, Datuk Hashim Jasin menolak tanggapan bahawa perbezaan yang berlaku antara pemimpin parti itu berhubung kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membawa kepada perpecahan, menjelang muktamar parti yang berlangsung awal bulan depan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata, adapun pimpinan berbeza pandangan ia hanya sekadar cadangan dalam usaha memantapkan PAS, dan bukannya untuk memecahbelahkan parti.

    “Dalam PAS keputusan dibuat pimpinan pusat, jadi biasanya apabila keputusan sudah dibuat, wajib diikuti pengikut.

    “Dalam PAS juga tidak ada masalah kerana setiap dasar kita nak putuskan itu walaupun ada yang tidak puas hati dalam kalangan pimpinan, itu hanya ibarat air berkocak dalam cawan sahaja, boleh diatasi dengan mudah dan setelah keputusan besar dibuat semua pimpinan akan patuh, walaupun di peringkat awal ada yang beza pendapat,” katanya kepada FMT.

    Muktamar PAS dijadualkan berlangsung pada awal September ini, dengan isu melibatkan kerjasama MN serta PN dijangka hangat dibincangkan.

    Beliau menegaskan sekalipun berlaku perbezaan pendapat dalam PAS sekarang ini, ia tidak akan membawa kepada penyingkiran beramai-ramai seperti dilihat pada 2015 yang melihat pembentukan Amanah.

    Katanya, jika adapun pandangan dari pimpinan PAS bahawa parti itu perlu memilih hanya satu iaitu Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO atau Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, itu hanyalah pandangan peribadi dan bukannya keputusan parti.

    “Keputusan PAS untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan pada masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN) masih kekal sampai sekarang, dan saya rasa akan berterusan. Tak timbul isu pemimpin sokong PN sahaja (atau) sokong MN sahaja,” katanya.

    Sebelum ini seorang pemimpin PAS membidas beberapa individu dalam parti itu yang mendakwa kononnya pendekatan mengeratkan hubungan kerjasama MN bersama UMNO dan PN dengan Bersatu sebagai melanggar arahan Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Ahli Jawatankuasa Kerja Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik berkata beliau hairan bagaimana pemimpin tertentu dalam PAS boleh membuat tuduhan sebegitu, sedangkan Hadi sendiri menegaskan perlunya mengekalkan kerjasama termasuk dengan UMNO.

    Beliau juga memberi bayangan insiden penyingkiran beramai-ramai dalam parti itu pada 2015 boleh berulang, apabila ada ahli parti yang “bersilat di belakang presiden” dan tidak ikhlas.

    Tanpa menyebut atau memberikan gambaran secara jelas pihak yang dimaksudkannya itu, ulama PAS terbabit berkata, sikap berkenaan menunjukkan mereka membawa kepentingan sendiri.

  • Hashim tegur pimpinan bawahan PAS serang sekutu MN, PN

    Hashim tegur pimpinan bawahan PAS serang sekutu MN, PN

    PANDANGAN dan pendirian pimpinan bawahan dalam PAS bukan suara yang mewakili parti, demikian tegas Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.

    Beliau yang kesal dengan insiden serang menyerang menggunakan media antara pimpinan PAS dan UMNO menegaskan, jika ada dalam kalangan pemimpin bawahan atau ahli yang memberi pendapat termasuk menyerang rakan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN, itu adalah pandangan peribadi individu terbabit semata-mata.

    “Itu bukan pendirian parti, tak perlu diperbesar-besarkan di media. Lainlah kalau yang bercakap itu Presiden, Timbalan Presiden atau Ketua Penerangan.

    “Benda-benda yang kecil begini sepatutnya dielakkan daripada bertembung sesama sendiri,” katanya, hari ini.

    Hashim mengulas perbuatan ‘serang menyerang’ oleh segelintir pemimpin PAS yang degil kerana tetap menggunakan media sebagai medan untuk mencetuskan perbalahan sesama rakan dalam MN dan PN lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

    Sebelum ini, beliau pernah mengingatkan kepada semua pemimpin dan ahli parti supaya mereka mengelak daripada menjadikan media sebagai medium perantara bagi menyelesaikan krisis atau pertikaian sesama parti dalam MN dan PN.

    Hashim berkata, pelaksanaan dan kejayaan untuk mewujudkan perpaduan ummah bukan kerana UMNO atau Bersatu, sebaliknya ia adalah perintah daripada Allah SWT.

    Beliau sehingga kini bagaimanapun berpuas hati dengan pencapaian yang ada namun tidak menafikan masih wujud perbezaan pendapat dalam kalangan tiga parti dominan Melayu Islam itu.

    “Kita dapat mengurangkan tekanan adalah satu kejayaan berbanding dulu dan saya yakin kalau berlaku seperti di PRN Melaka maka suasana harmoni iaitu tak serang menyerang akan berlaku.

    “Kita sudah bergerak ke arah perpaduan ummah, kita berada pada landasan yang betul,” katanya.

  • UMNO patut kaji siapa musuh, kawan sebenar

    UMNO patut kaji siapa musuh, kawan sebenar

    KEPUTUSAN UMNO menolak mentah-mentah kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) memang membingungkan banyak pihak termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN).

    Tidak dapat dilihat apa kewajaran yang digunakan oleh UMNO di sebalik keputusan yang bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.

    Langkah semberono yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu boleh membuka jalan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Kebimbangan itu turut disuarakan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dalam laporan media hari ini.

    Beliau menasihatkan agar UMNO mengkaji semula siapakah sebenarnya musuh dan kawan selain jangan menolak kerjasama dengan PN.

    Seperti yang dijelaskan oleh Hashim, perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu dan Islam akan memberi keuntungan kepada PH.

    Sememangnya UMNO perlu memikirkan semasak-masaknya nasihat Hashim tersebut kerana parti itu telah kehilangan banyak kerusi pada PRU-14 dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), PAS dan PH.

    Seorang lagi tokoh ulama PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani pula berpandangan, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya berlapang dada serta menjauhkan sifat tamak dan ego.

    Seperti yang dinyatakan dalam hantaran Facebook, beliau berkata, kedua-dua parti Melayu itu saling memerlukan antara satu sama lain dan mereka perlu berdamai.

    UMNO PAS
    Ahmad Dusuki Abd Rani

    “Belum cukup lagikah pengajaran PRU-14 yang lalu memberi pengajaran kepada semua kita ini?

    “Belum cukup lagikah 22 bulan yang gelap di bawah PH itu menjadi iktibar yang berguna kepada kita semua umat Islam di bumi Malaysia ini?

    “Atau kita perlu ‘tamparan’ dari Allah COVID yang lebih dahsyat dari yang lalu? Atau apa sebenarnya yang menjadi ketamakan kepada semua ini?” soalnya.

    PAS memang berhak menyuarakan kebimbangan ekoran keputusan ‘muktamad’ UMNO menolak kerjasama dengan PN dan Bersatu pada PRU-15.

    Langkah UMNO itu akan meletakkan PAS dalam situasi serba salah sekiranya terpaksa berdepan calon sekutunya dalam MN itu kelak.

    Setakat ini, MN masih lagi wujud walaupun ramai pemerhati politik yang sangsi tentang kemampuannya bertahan selagi UMNO diterajui oleh Ahmad Zahid.

    Beliau dikatakan sering mengambil tindakan yang tidak selari dengan semangat MN sehingga menyebabkan pemimpin-pemimpin PAS rasa tersinggung.

    Mungkin fikiran Ahmad Zahid terganggu dengan kes mahkamah yang dihadapi justeru wajar dicadangkan supaya beliau ‘bercuti’ dahulu supaya pemimpin yang fikirannya lebih rasional dapat mengemudi UMNO bagi menghadapi PRU-15.