Dua premis judi di Baling tamat operasi

Oleh RIZQI ZABIDI

KEPUTUSAN kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian mula dilaksanakan apabila dua buah premis perjudian di Baling sudah menamatkan operasi mereka baru-baru ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, terdapat lebih 50 premis perjudian di negeri ini turut akan menamatkan operasi secara berperingkat selepas ini.

Ini berikutan katanya, keputusan itu sudah dikuatkuasa kerajaan negeri serta merta pada November lalu.

“Saya difahamkan baru-baru ini dua premis ini sudah menghentikan operasi mereka di Baling. Jumlah sebenar saya belum dapat lagi. Tapi di Kedah ini ada lebih 50 premis perjudian akan tamat operasi mereka berperingkat pada tahun ini,” katanya selepas menyerahkan hamper dan ang pau sempena Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Pada 14 November lalu, media melaporkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kedah tidak lagi akan memberikan kelulusan lesen baharu bagi pengoperasian premis perjudian di negeri itu, berkuat kuasa serta merta.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah memaklumkan kepada Kementerian Kewangan mengenai dasar kerajaan negeri untuk tidak lagi memperharui lesen premis perjudian.

Katanya, surat mengenainya sudah dihantar SUB Kerajaan Tempatan negeri agar kementerian terbabit tidak lagi mengeluarkan lesen berkenaan.

“Prosesnya memang begitu, kita perlu maklumkan kepada Kementerian Kewangan yang kita tidak lagi memperharui lesen premis perjudian, jadi kita harap Kementerian Kewangan tidak lagi perbaharui lesen premis perjudian di Kedah..Ini adalah jalan yang betul kita ambil,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memberitahu pihaknya mengesan terdapat aktiviti menyiram pokok durian menggunakan sumber bekalan air terawat pada waktu malam sehingga dikhuatiri menjadi antara punca berlaku tekanan air rendah yang lebih serius di daerah Sik .

Katanya keadaan itu berlaku berikutan kedudukan dusun ini jauh dari kawasan sumber air seperti tali air.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan luas kawasan dusun durian terbabit.

“Tekanan air ini selalunya kuat pada tengah malam, jadi penduduk akan simpan air dalam tangki untuk kegunaan waktu siang tapi yang kita kesan ada juga petani yang siram dan simpan air untuk siram pokok durian di dusun mereka guna air terawat ini. Walaupun petani ini bayar bil air, saya harap mereka dapat guna alternatif lain untuk siram pokok durian mereka,” katanya.

Pada majlis itu seramai 20 warga emas dan keluarga miskin berketurunan Cina menerima sumbangan berkenaan.
Habis….


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *