Armada desak SPR umum langkah pastikan PRN Johor lebih adil, telus berintegriti

Oleh MUHAMMAD SHAMSUDDIN PAIJAN

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Johor mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan langkah-langkah meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan, sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menjamin pilihan raya yang lebih adil, telus serta berintegriti.

Armada Johor mahu PRN Johor dijadikan kayu pengukur mahupun platform memulakan sebahagian daripada aspirasi perubahan dan pembaharuan politik negara yang dicetuskan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan merupakan satu proses perubahan yang sangat signifikan kepada landskap politik negara.

Kami mahu kualiti keadilan, ketelusan dan integriti dalam pilihan raya di negara ini ditingkatkan bermula dengan PRN Johor supaya terhasil sebuah kerajaan yang bermaruah, sifar rasuah serta bebas penyelewengan sepertimana aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

Muhammad Shamsuddin Paijan

Jika proses pilihan raya itu dipengaruhi perkara-perkara yang dikaitkan dengan rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, maka dibimbangi kerajaan yang akan ditubuhkan selepas PRN itu tidak mampu menegakkan prinsip integriti mahupun kedaulatan undang-undang. 

Justeru, Armada Johor mahu SPR mengumumkan segera langkah itu menerusi platform sedia ada seperti mengeluarkan kenyataan media, memuat naik kenyataan dalam media sosial ataupun mengadakan sidang media supaya pengundi lebih yakin PRN Johor akan diadakan mengikut lunas-lunas integriti serta menjunjung kedaulatan undang-undang.

Kami melihat masih ada kelompongan atau ruang yang mesti ditambah baik oleh SPR dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan yang bermula daripada sebelum pengumuman tarikh penamaan calon sehingga peringkat pengumuman calon yang menang pilihan raya.

Proses di antara dua perkara itu juga sangat kritikal dan mesti dipantau dengan teliti terutama ketika berlangsung kempen dan kemudiannya proses pengiraan undi.

Bagi mencapai demokrasi dan kerajaan yang berkualiti, ia mesti dimulakan dengan pilihan raya yang bersih supaya kemenangan dicapai secara bermaruah, bebas rasuah dan penyelewengan serta tidak memanipulasi jentera atau logistik kerajaan.

Armada Johor juga berharap badan bebas atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) serta Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik memainkan peranan lebih aktif pada PRN Johor serta mengemukakan input penambahbaikan proses pilihan raya kepada kerajaan.

Kami juga berharap jentera pilihan raya Bersatu Johor mewujudkan kaedah pemantauan tersendiri bagi memastikan calon parti sendiri mempamerkan politik yang bersih seiring perubahan dan pembaharuan politik negara yang sedang diperjuangkan oleh gagasan Perikatan Nasional.

  • Muhammad Shamsuddin Paijan adalah Ketua Armada Negeri Johor


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *