Muhyiddin harap SOP PRN Johor seimbang, cegah penularan Covid-19, beri ruang parti berkempen

TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap SOP yang akan ditetapkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah seimbang dari segi keutamaan untuk mencegah penularan Covid-19 dan memberi ruang kepada parti-parti politik untuk berkempen secara bebas, adil dan selamat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menegaskan, jika diberi mandat oleh rakyat Johor dalam pilihan raya itu, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri tersebut keseluruhannya.

‘’Saya menyeru semua pengundi yang layak untuk mengundi dalam PRN Johor kali ini supaya keluar mengundi dengan mematuhi SOP yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

‘’Saya juga mengalu-alukan semua pengundi baharu termasuk pengundi berumur 18 tahun ke atas yang akan mengamalkan hak demokrasi mereka sebagai pengundi buat pertama kali dalam PRN Johor. Tunaikanlah hak dan tanggungjawab anda secara bijaksana,’’ katanya dalam satu kenyataan mala mini.

Muhyiddin berkata, PN bersedia menghadapi PRN itu dan menegaskan walaupun PN adalah sebahagian daripada Kerajaan Negeri Johor sebelum ini, keputusan pembubaran DUN dibuat tanpa perundingan dengan PN negeri tersebut.

‘’Sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, PN akan mengadakan rundingan dengan parti-parti anggota PN bagi memuktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi selain memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti,” katanya.

SPR dijangka mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi menetapkan hari penamaan dan pengundian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *