KEMENTERIAN Pendidikan membuat ketetapan untuk menyuraikan murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Seberang Perai Utara ke sekolah lain yang berhampiran memandangkan bangunan dan tapak sekolah itu adalah milik Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd.
Menurut kementerian, sekolah-sekolah tersebut adalah SK Kuala Perai, Butterworth yang terletak 350 meter dari situ serta SK Kuala Nyior (1.7 km), SK St Mark, Butterworth (2.1 km), SK Khir Johari, Perai (5.5 km) dan SK St Mark, Perai (5.8 km).
Jelas Kementerian Pendidikan, penyuraian itu dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan dua orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.
“Ketetapan itu diambil berdasarkan justifikasi trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun.
“Pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang.
“Terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35 km hingga 5.8 km,” jelas Kementerian Pendidikan dalam kenyataan media, hari ini.
Kementerian Pendidikan merujuk kepada laporan media berhubung pengosongan tapak SK Assumption yang merupakan sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan dan tapak sekolah yang dimiliki oleh Sri Avenue sejak 2008.
Pada 3 November 2021, Sri Avenue telah memaklumkan bahawa syarikat telah menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga.
Sehubungan itu, pihak syarikat memohon supaya Kementerian Pendidikan mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut dengan secepat mungkin.
Mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, Kementerian Pendidikan telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 pada bulan Mac 2022.
“Kementerian Pengangkutan akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023,” jelasnya.
Leave a Reply