ahmad zahid hamidi keputusan mahkamah tinggi kuala lumpur

Ahmad Zahid akur dengan keputusan mahkamah

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memerintahkannya membela diri atas 47 tuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Ahmad Zahid, 69, berkata, secara peribadi beliau akur dengan perintah yang diputuskan mahkamah kerana itu adalah hak mutlak hakim.

“Pasukan guaman saya akan meneruskan guaman ini (kes ini) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh mahkamah tadi. Tarikh-tarikh (bicara bela diri) telah ditetapkan dan tentunya keakuran ini berdasarkan kepada sistem perundangan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap pertuduhan yang dihadapinya, hari ini.

keputusan mahkamah tinggi ahmad zahid hamidi
Sebahagian daripada penyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menunggu di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi mendengar keputusan akhir bagi 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB). GAMBAR: Warta Rakyat

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini pada pukul 9.03 pagi dan beredar pada 10.45 pagi.

Hampir 100 penyokong Presiden UMNO itu dilihat berkumpul di pekarangan mahkamah sejak 7.30 pagi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, yang dimilikinya selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan.

19 Okt 2018 – Ahmad Zahid didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

14 Dis 2018 – Ahmad Zahid didakwa buat kali kedua di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan iaitu pecah amanah wang berjumlah RM10 juta milik YAB.

20 Feb 2019 – Ahmad Zahid didakwa kali ketiga di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik YAB.

28 Feb 2019 – Mahkamah Sesyen memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes itu ke mahkamah berkenaan untuk dibicarakan.

22 Mac 2019 – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 8 Julai hingga 12 Sept 2019 untuk perbicaraan kes itu.

keputusan mahkamah ahmad zahid hamidi
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir mendengar keputusan akhir bagi 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

3 Mei 2019 – Mahkamah Tinggi melapangkan perbicaraan dari 8 Julai hingga 12 Sept 2019 untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, yang dijadual bermula dari 19 Ogos hingga dua minggu pertama November 2019.

Mahkamah menetapkan 18, 20, 21, 22 Nov dan 2, 3, 4, 5, 6, 9, 10, 11, 12,13 Dis 2019 untuk perbicaraan kes Ahmad Zahid.3 Mei 2019 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid, supaya pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah, dikembalikan untuk beliau mengerjakan umrah pada 9 Mei hingga 3 Jun 2019.

14 Mei 2019 dan 23 Mei 2019 – Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing menolak rayuan Ahmad Zahid bagi mendapatkan pasport untuk umrah.

18 Nov 2019 – Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bermula.

2 Mac 2020 – Pihak pendakwaan memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah susulan penangguhan perbicaraan pada hari tersebut selepas peguam yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan anak guamnya perlu menghadiri satu mesyuarat berkaitan pembentukan Kabinet bersama Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan pada hari tersebut.

3 Mac 2020 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Zahid selepas beliau mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

22 Feb 2021 – Pasukan pembelaan Ahmad Zahid diminta menasihati anak guam mereka agar tidak menghadiri sebarang mesyuarat dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu sebelum perbicaraan berlangsung selepas kes rasuah itu ditangguh beberapa kali kerana beliau menjalani kuarantin.

zahid hamidi
Anggota Polis berkawal dihadapan pintu masuk Mahkamah ketika Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir mendengar keputusan akhir bagi 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

19 Mac 2021 – Pendakwaan menutup kesnya selepas 53 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 99 orang saksi.

24 Ogos 2021 – Mahkamah Tinggi menyapina seorang doktor pakar daripada sebuah hospital swasta untuk menjelaskan di mahkamah keadaan kesihatan Ahmad Zahid kerana tertuduh tidak hadir pada perbicaraan kesnya.

Ahmad Zahid dilaporkan dimasukkan ke hospital susulan kecederaan yang dialaminya selepas terjatuh.

25 Ogos 2021 – Doktor pakar sebuah hospital swasta memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Ahmad Zahid ‘mungkin’ boleh menghadiri prosiding kes rasuahnya pada 6 Sept.

6 Sept 2021 – Hujahan di akhir kes pendakwaan bermula. Ahmad Zahid hadir di mahkamah dengan memakai penyangga leher.

8 Sept 2021 – Hakim Mahkamah Tinggi memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes tersebut.

Amaran itu dikeluarkan susulan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah telah membuat hantaran mengenai kes bapanya di Instagram.

7 Okt 2021 – Ahmad Zahid membuat permohonan di Mahkamah Tinggi di sini supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya yang mengalami sakit belakang dan leher ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

11 Okt 2021 – Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mengembalikan pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman.

6 Dis 2021 – Hakim Sequerah menetapkan 24 Jan 2022 untuk keputusan di akhir kes pendakwaan selepas mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan selama 24 hari. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *