MyCC RFID

MyCC pantau pelaksanaan RFID jika ada isu persaingan

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) akan memantau pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di bawah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go Sdn Bhd agar kepentingan pengguna lebuh raya terpelihara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata, walaupun inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol ini dialu-alukan, MyCC percaya bahawa pelaksanaan sistem itu perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mencapai objektifnya.

Menurut beliau, MyCC mengambil maklum tentang rancangan untuk memastikan peralihan lancar kepada RFID untuk pengguna lebuh raya dan kerjasama antara PLUS dan Touch ‘n Go dalam sistem kutipan tol.

“Memandangkan terdapatnya peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya dalam mesyuarat yang sama mengenai pelaksanaan tersebut termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit tetapi juga sistem e-dompet yang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Iskandar mengulas tentang hasil perjumpaan antara MyCC dengan PLUS dan Touch ‘n Go pada 17 Januari lalu berhubung pelaksanaan RFID.

Perbincangan itu merupakan satu inisiatif yang diambil oleh MyCC untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut berkenaan perlaksanaan tersebut serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID.

Beliau menambah, MyCC juga akan menumpukan usahanya dengan memantau secara konsisten perkembangan pelaksanaan tersebut selaras dengan peranannya dalam memperjuangkan dan mempromosikan persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.

“Dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran-pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari masa ke semasa dan apabila sebarang isu persaingan telah dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.

“Seterusnya, adalah penting untuk diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian.

“Oleh itu, MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna,” jelasnya.

Sejak Isnin lalu, ramai netizen berkongsi kekesalan mereka akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk akibat kegagalan beberapa kenderaan melepasi imbasan RFID di plaza tol.

Kesesakan bertambah teruk pada waktu puncak ketika ramai pengguna lebuh raya mahu ke tempat kerja masing-masing.

Kelmarin, PLUS dalam satu kenyataan menjelaskan, pengguna lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.

Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go (TNG) yang terdekat akan disediakan dan jika masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TNG akan menggantikannya dengan tag RFID baru secara percuma.

PLUS juga berjanji akan melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan RFID.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, baru-baru ini memaklumkan sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *