‘’Kalau kita berpecah, orang lain dapat labanya’’ – Razali Idris

WALAUPUN tidak sekuat parti Pas dan  UMNO yang telah lama bertapak kukuh di negara ini, namun parti Bersatu  Terengganu kini semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Sejak mula diperkenalkan lima tahun lalu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Bersatu Terengganu berjaya memberi impak.

Bermula dengan keahlian awal hanya 800 orang, kini parti tersebut berjaya memiliki lebih 20,000 ahli terdiri daripada pelbagai golongan termasuk profesional, bekas calon, ahli agama, peguam dan juga generasi muda.

Dalam wawancara 5 SOALAN bersama Wartawan WartaRakyat, MOHD LAZIM ENDUT di Kuala Terengganu, Pengerusi Bersatu Terengganu, SENATOR DATUK RAZALI IDRIS yang juga merupakan  Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memberi pandangan beliau berhubung perkembangan parti itu di negeri tersebut.

Bagaimana penerimaan rakyat Terengganu  terhadap parti  Bersatu sehingga ini.?

DATUK RAZALI: Setelah lima tahun Bersatu wujud, iaitu sebelum PRU14, perkembangan kini sangat menggalakan. Pada awalnya keahlian kita di Terengganu hanya sekitar 800 orang sahaja, tetapi sekarang telah melebihi 20,000.

Kalau dilihat dari segi keahlian memang orang akan mengatakan kita  tidak kuat, tetapi sebagai parti baharu, janganlah dibandingkan dengan parti yang telah lama bertapak seperti Pas dan UMNO.

Untuk jangka masa panjang, kita percaya Bersatu akan menjadi sebuah parti pilihan baharu atau alternatif kepada rakyat.

Pada jangkaan Datuk, di manakah kedudukan  parti Bersatu selepas ini?

DATUK RAZALI: Saya amat berkeyakinan bahawa Bersatu Terengganu boleh bertindak sebagai King Maker untuk membantu parti-parti  komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada PRU-15 nanti  seterusnya membentuk  kerajaan, kalau kita bertanding secara solo atau bersendirian, itu payahlah…

Sehingga ini golongan mana yang dilihat paling ramai menyertai Bersatu di Terengganu dan kawasan parlimen mana pula menjadi pilihan?

DATUK RAZALI: Kalau kita lihat  keahlian Bersatu sekarang ini, ia sebenarnya tidak lagi menjurus kepada orang UMNO. Pada peringkat awal penubuhan dahulu, iaitu ketika berada di kelompok 10,000 ahli ketika itu, 70 peratus ahli adalah terdiri daripada orang UMN0, tetapi pada penghujung pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan  diikuti era pemerintahan Perikatan Nasional (PN) fenomena itu telah berubah.

Hal ini kerana, kita mendapati kebanyakan keahlian baharu yang menyertai Bersatu di Terengganu terdiri daripada golongan yang masih ‘fresh’, iaitu mereka yang tidak terikat dan tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik termasuk golongan profesional serta orang muda berusia  18, 19 dan 20 tahun.

Apa yang membanggakan kita, Bersatu kini seolah-olah menjadi sebuah parti pilihan baharu atau alternatif kepada rakyat.

Dalam tempoh beberapa hari pada awal tahun 2022 ini, hampir 1,000 golongan anak muda telah mendaftar sebagai ahli Bersatu, bagi kita perkembangan ini berlaku agak cepat.

Kawasan parlimen paling ramai menjadi ahli Bersatu setakat ini ialah Besut diikuti Dungun, Kuala Nerus dan Setiu yang melibatkan rekod keahlian masing-masing sekitar 4,000 orang, tidak jauh beza.

Sebelum ini Datuk ada mengatakan akan menuntut dua kerusi parlimen dan lapan kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) daripada Pas bagi meletakkan calon yang akan mewakili Bersatu Terengganu  bertanding pada PRU 15 nanti, apakah ia telah dimuktamadkan?

DATUK RAZALI: Sebenarnya ia bukan tuntutan kerusi, sebaliknya ia adalah cadangan kita sekiranya UMNO tetap dengan pendirian tidak mahu terlibat dengan PN, maka itulah sasaran kita untuk meletakkan calon dan bertanding di semua kerusi yang dimenangi UMNO sewaktu PRU14 sebelum ini, iaitu dua Parlimen dan 10 DUN.

Tetapi sekiranya UMNO bersedia untuk bersama PN, mungkin lain pula ceritanya. Kita tidak mendesak, tidak desak mengatakan ‘aku nak kerusi banyak ini’, itu bukan perkara pokok, sebab kita  tahu ukuran saiz  baju kita L, M, atau S.

Perkara pokoknya pada saya ialah kita nak tengok Bersatu, Pas dan UMNO bersekali  bersama kita, sebab kita rasa kalau perpecahan terus berlaku, laba akan dapat kepada orang lain, bukan laba dapat kepada kita, tidak  akan ada jaminan untuk UMNO untuk memerintah dan tidak ada jaminan juga untuk PN berbuat demikian jika bertanding secara bersendirian.

Jadi, apakah harapan Datuk bagi  menghadapi PRU 15 nanti?

DATUK RAZALI: Dalam bersiap siaga, kita masih berharap untuk bekerjasama  melibatkan tiga parti Melayu ini pada PRU 15 nanti.

Sebenarnya kita sudah pun membuat persediaan awal kearah usaha tersebut (meletak calon di kerusi dimenangi UMN0 pada PRU 14) , tetapi kalau UMNO bersedia bersama PN, maka kita akan bincangkan semula perkara berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini Bersatu dan Pas  belum  mengadakan perbincangan secara rasmi membabitkan agihan kerusi pada PRU 15 kerana kedua dua parti ini masih mengharapkan kesediaan UMNO untuk bersama kita.

Dalam konteks negeri Terengganu, kita menjangkakan Pas bersama PN  bakal memenangi PRU-15 nanti, sebab masih tidak nampak ‘turning point’ bagi UMNO nak buat ‘swing’  sepertimana PRU pada tahun 2004 dahulu. Kita juga tidak nampak isu-isu besar boleh dijadikan ‘senjata’ kecuali hanya masalah  secara dalaman sahaja.

Bagi Bersatu pula, kita memiliki cukup calon mewakili pelbagai latar belakang yang bagus dan berkarisma, ada doktor, peguam, ahli agama, bekas exco, jurutera dan orang muda, cuma kita masih tidak tahu di mana kerusi dan tempat untuk bertanding.

Jadi, perkara itulah yang perlu kita berbincang dan mengadakan musyawarah bersama Pas pada penghujung nanti, iaitu sebelum PRU15 diadakan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *