Jual sijil vaksin palsu:4 negeri buat laporan polis

TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain mendedahkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan kes klinik swasta menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu setakat ini.

Beliau memberitahu, kegiatan tersebut melibatkan klinik swasta di Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan.

Bagaimanapun katanya, kegiatan itu di seluruh negara masih berada pada tahap terkawal, selain dipantau pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Pada masa ini, saya tiada fakta terperinci laporan itu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Sudah tentu kegiatan penjualan sijil vaksinasi palsu dalam kawalan PDRM dan kita sentiasa pantau perkara itu,” katanya seperti dilaporkan BH, hari ini.

Semalam, media melaporkan tujuh individu termasuk pemilik sebuah klinik swasta di Gombak ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi COVID-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, dipetik berkata semua suspek, termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan minggu lalu dalam serbuan di klinik berkenaan.

Siasatan awal mendapati, kegiatan kumpulan itu dikesan menerusi pesanan ringkas yang tular melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Di Terengganu, polis dilaporkan membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu, apabila merampas hampir 100 kad peringatan imunisasi (janji temu) serta menahan seorang doktor sebuah klinik swasta di Marang.

Doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKJK) pada 8 Januari lalu.

Susulan penahanan itu, polis dan Jabatan Kesihatan Terengganu sedang menyiasat sama ada kira-kira 1,900 individu yang berurusan untuk divaksin dengan klinik berkenaan diberi sijil vaksinasi tulen atau sebaliknya.

Sementara itu, Razarudin menasihatkan pihak klinik supaya bertanggungjawab dan jujur dalam memudahkan urusan rakyat bagi mendapatkan vaksin.

“Kita turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam hal ini dan maklumat kegiatan jual sijil vaksin palsu akan dikongsi bersama,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *