deposit tanpa lesen sarung tangan getah wang haram kereta didakwa jamaluddin jarjis wang palsu bella pecah amanah penjara bulan jelik membunuh ibu kepala ibunya polis tentera mualaf penjara 12 tahun

Pengarah syarikat mengaku salah tipu projek jutaan ringgit

SEORANG pengarah syarikat dihukum penjara 15 tahun dan sembilan sebatan selepas mengaku salah atas tujuh kesalahan menipu membabitkan projek bernilai jutaan ringgit di Sabah, dua tahun lalu.

Mohammad Shah Soep, 41, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan ke atasnya ketika dihadapkan di dua Mahkamah Majistret berasingan di Kota Kinabalu, hari ini, lapor BH online.

Dia didakwa menipu enam kontraktor untuk menyerahkan wang berjumlah RM600,000 yang dikatakan sebagai bayaran untuk mendapatkan projek, antara 25 Februari dan 4 November 2020 di beberapa hotel dan sebuah rumah, di Kota Kinabalu.

Wang hasil penipuan itu diserahkan kepada tertuduh sama ada melalui cek atau secara pindahan bank.

Projek yang dikatakan ditawarkan tertuduh kepada kontraktor terbabit ialah kerja mengganti lampu jalan di seluruh Sabah dan kerja pembersihan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Bagi pertuduhan pertama hingga keenam, Majistret Jessica Ombou Kakayun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang dilaksanakan secara berturutan.

Untuk pertuduhan ketujuh, tertuduh dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Abdurrahman Abrar Jarni yang bertindak sebagai Majistret.

Tertuduh turut didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membuat bayaran dan diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 7 Januari tahun ini.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh antara lain menawarkan projek kepada mangsa dan meminta mereka membayar sejumlah wang bagi mendapatkan projek terbabit.

Bagaimanapun, selepas berbulan menunggu, mangsa akhirnya sedar yang mereka ditipu apabila gagal menghubungi tertuduh sebelum membuat laporan polis yang kemudiannya membawa kepada penahanan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Albert Basiri dan Inspektor Kumar Vijayan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *