Kisah Rohana tular di Indonesia

Kisah anak pekerja Indonesia Rohana Abdullah yang diasuh wanita Malaysia berlainan bangsa tular di pelbagai platform media di republik itu sehingga kini dan mengundang simpati masyarakat Indonesia.

Apatah lagi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri memberikan perhatian segera dengan menghubungi Rohana dan berjanji membantu menguruskan dokumentasi status kewarganegaraan beliau.

Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia menyokong sepenuhnya inisiatif perdana menteri, yang juga sebahagian daripada usaha dalam mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia terutama dalam soal kemanusiaan yang sangat universal.

“Saya terharu dengan kisah Rohana dan sangat menghargai usaha perdana menteri dan kerajaan Malaysia apabila dapat sepenuhnya membantu Rohana sehingga dia mendapatkan statusnya yang pasti,” kata Ketua ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan.

ISWAMI Indonesia turut memuji dan menzahirkan rasa hormat kepada Chee Hoi Lan, 83, guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai kakitangan pembersihan kerana menjaga Rohana seperti anak sendiri sehingga kini.

“Ini soal kemanusiaan yang menjadi perhatian kita bersama,” kata Asro kepada Bernama hari ini ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar di Malaysia yang mendedahkan dilema yang dihadapi Rohana kerana tidak mempunyai status warganegara.

Rohana ketika berusia dua bulan ditinggalkan ibunya 22 tahun lalu di tadika yang terletak di ibu kota Kuala Lumpur kerana terpaksa pulang ke kampung halaman di Indonesia.

Chee menanggung segala keperluan Rohana dengan wang simpanannya sendiri termasuk menghantarnya ke Kelas Asas Fardu Ain bagi memastikan dia terjaga sebagai seorang Muslim.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata siasatan menyeluruh akan dilakukan sebelum dokumen identiti diberikan kepada Rohana.

Beliau turut difahamkan bapa kepada gadis itu adalah warganegara.

Kisah Rohana turut mengundang pelbagi komen positif warga Indonesia termasuk pengamal media sambilan di Jakarta, David Andreas, yang menyatakan perjalanan hidup Chee dan Rohana berdua sangat mengharukan.

“Patut menjadi contoh ketika perbezaan tidak menjadi halangan bagi sesiapapun untuk berbuat baik dan bersatu,” katanya, sambil berharap kebaikan Chee akan dikenang dan semoga Rohana dapat bertemu dengan ibunya hasil berita yang viral di seluruh republik.

“Terharu membaca cerita ini, Rohana harus bersyukur mendapat ibu angkat yang baik hati,” kata kerani pentadbiran, Herning Rini.

“Semoga urusan status (kerakyatan) dan mencari ibu kandungnya dipermudahkan.” – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *