Dahulu kampung nelayan tradisi, kini Taman Rekreasi Keluarga

KEINDAHAN alam semula jadi yang terdapat disekelilingnya amat memukau setiap mata memandang.

Dihadapannya, kelihatan laut yang terbentang luas disamping Pulau Kapas yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong.

Di sebelah ‘matahari jatuh’ pula terdapat alur sungai yang dijadikan sebagai tempat nelayan menjalankan aktiviti termasuk ‘menyadaikan’ (menyimpan) bot ke darat.

Setiap kali air sungai surut, kelihatan wajah-wajah wanita dimanah usia duduk bersimpuh sedang mencari teritip dan lokam.

Pada masa sama, di bawah bangsal beratap daun kelapa pula, kelihatan beberapa wanita lain sedang asyik menyiang sotong, ikan dan keropok, ada juga yang menjemur ikan di atas rang (para).

Begitulah aktiviti rutin boleh disaksikan setiap hari di Kampung Pantai Batu Merah, Marang suatu ketika dahulu atau kini dikenali dengan nama Pulau Kekabu.

Gabungan antara dua suasana, iaitu alam semulajadi dan aktiviti gaya hidup penduduk akhirnya menghasilkan produk pelancongan menarik bagi daerah Marang.

Malah, suasana tersebut lebih memukau dan menakjubkan sekiranya dilihat ketika matahari mulai terbit diufuk timur dan juga ketika disaat matahari mulai terbenam di sebelah barat.

Berdasarkan itulah, lokasi ini sering dikunjungi para pelancong asing termasuk pelukis dan jurugambar profesional dari dalam serta luar negara.

Ini menyebabkan suatu ketika dahulu iaitu pada tahun 1960an hingga 1990an terdapat banyak dokumentari diterbitkan selain dirakamkan ke dalam bentuk lukisan dan poskad.

Namun, fenomena seperti itu telah berlalu, generasi sekarang sudah ramai tidak mengenali Pantai Batu Merah kerana mereka hanya mengetahui Pulau Kekabu.

Sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja, penulis seringkali berada di lokasi ini kerana mengikut bapa menjual ikan yang dibawa pulang dari laut.

Pulau kekabu dahulunya merupakan sebuah perkampungan nelayan tradisi, tetapi kini semakin berubah wajah setelah dibangunkan dan bertukar menjadi Taman Rekreasi Keluarga, ia kini sudah tidak lagi berpenghuni setelah penduduk dipindahkan ke kawasan penempatan baharu.

Pulau Kekabu terletak berhampiran pasar tradisi Marang, selain jalan dan jambatan baharu, pelbagai kemudahan asas
seperti taman permainan kanak-kanak, lot-lot kedai dan tandas awam turut disediakan.

Menceritakan mengenai Pulau Kekabu, penulis pernah diberitahu oleh ketua kampung ketika itu yang dikenali sebagai Pak Yong (kini sudah meninggal dunia) mengatakan asalnya kampung itu dihuni seramai 30 keluarga nelayan.

Penulis juga dimaklumkan ketika itu Pantai Batu Merah belum dibina benteng pemecah ombak menyebabkan setiap kali tiba musim tengkujuh para penduduk sentiasa berasa cemas dan berada dalam keadaan bimbang ekoran angin kencang dan laut bergelora yang menyebabkan ombak besar membadai sehingga ke kawasan rumah.

“Ada ketika ombak dari laut turut menghakiskan pasir sehingga ke kawasan rumah.

Ia semakin cemas, apabila berlaku kejadian air pasang besar, “cerita anak Pak Yong pula iaitu Norizan Yong ketika penulis menjalani penggambaran filem Debu Debu Kasih di lokasi itu pada akhir 1990an dahulu.

Norizan pernah memberitahu penulis, air pasang besar turut menenggelamkan jambatan yang menghubungkan kampung itu ke daratan.

Ekoran kejadian yang berlaku pada setiap tahun itu, maka kesemua penduduk di kawasan tersebut akhirnya bersetuju untuk dipindahkan ke kawasan penempatan baharu yang lebih selamat termasuk di Sungai Kerak 3, Belakang Balai Bomba dan Penyelamat Marang dan Bukit Jetit .

Mengenai nama Pulau Kekabu, Norizan menceritakan nama itu dicadangkan oleh bekas seorang ahli politik, Abdul Latiff Muda yang ketika itu melawat rumah keluarganya di Pantai Batu Merah.

Menurutnya, nama Pulau Kekabu dicadangkan kerana di hadapannya terdapat Pulau Kapas, apatah lagi di pantai itu ada dua pokok Kekabu besar.

Bagaimanapun, penulis difahamkan nama Pulau Kekabu mula menjadi sebutan selepas beberapa tahun penduduk di situ berpindah ke penempatan baharu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *