18 PATI warga Myanmar ditahan depan sekolah agama

CUBAAN membawa 18 pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar dengan menggunakan dua buah kenderaan gagal apabila berjaya ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di hadapan sebuah sekolah agama di Pasir Mas, semalam.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi, menerusi serbuan pukul 1 petang itu, PATI berkenaan dibawa menggunakan dua buah kenderaan utiliti serbaguna jenis Starex dan dipandu dua pemandu warga tempatan beralamat di Johor Bahru.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan pertama dinaiki sembilan individu termasuk pemandu manakala kenderaan kedua dinaiki 11 individu termasuk pemandu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua warganegara Myanmar berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, turut dirampas sebuah telefon bimbit Iphone, Huawei dan Poco F3 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM165,000 termasuk dua kenderaan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *