Alasan dangkal mahu PRN Johor kerana kematian Osman

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

ALASAN mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, adalah dangkal dan tidak wajar.

Malah kata Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Senator Md. Nasir Hashim, tindakan tersebut seperti tidak menghormati bekas Menteri Besar Johor itu yang baru meninggal dunia dan banyak berjasa terhadap negeri ini.

Jelasnya, tiada sebarang isu atau masalah disebabkan kekosongan kerusi DUN Kempas itu sekali gus tiada keperluan untuk PRN.

“Tidak wajar diadakan PRN Johor ketika ini. Selain baru sahaja Allahyarham Datuk Osman Sapian meninggal dunia, beberapa daerah di Johor masih mengalami banjir.

“Lebih baik wang yang mahu diperuntukan untuk PRN itu disalurkan bagi membantu mangsa banjir kerana ini merupakan keutamaan pada masa sekarang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, Bersatu Johor tidak leka dan meminta semua ketua bahagian bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan PRN dalam waktu terdekat.

Keadaan politik di Johor kini hangat selepas timbulnya khabar angin pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membolehkan PRN diadakan bertiup kencang sejak berakhirnya sidang DUN Khas pada minggu lalu.

Pelbagai ura-ura diperkatakan termasuk bakal timbul ADUN Bebas dan PRN Johor dijangka berlaku pada Januari atau Februari iaitu selepas selesai bencana banjir di negeri itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *