SELEPAS didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Johor Bahru, seorang pengurus syarikat pembinaan didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di Ipoh atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM14,000 kepada penjawat awam bagi mendapatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan bangunan pada 2019.
Asdi Ali, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M. Bakri Abd Majid.
Dia didakwa secara rasuah memberi suapan RM6,000 kepada Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Hairulnizam Sarudin, 44, sebagai dorongan mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan kerja bagi Kerja-Kerja Pembaikan Lapis Kalis Air di Blok B dan C Asrama Perempuan di Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.
Asdi didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Ipoh Garden di Ipoh, pada 6 Dis 2019.
Tertuduh turut didakwa memberi suapan RM5,750 dan RM2,250 kepada individu sama bagi mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan kerja bagi Kerja-Kerja Pembaikan Kerosakan di Kediaman Kelas Blok Kakitangan dan Pegawai di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dan Kerja-Kerja Penyelenggaraan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.
Kedua-dua kesalahan itu pula didakwa dilakukan di lokasi sama pada 20 Dis 2019.
Asdi didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Nazrin Sulaiman.
Mahkamah membenarkan Asdi diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam untuk dibicarakan bersama kes rasuah lain yang dihadapi tertuduh, selain menetapkan 26 Jan ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ahad lepas, Asdi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memberi suapan RM10,000 bagi mendapatkan kerja-kerja membaiki dan meningkatkan keselamatan jalan raya di sekitar Hulu Selangor.
Pada 21 Dis lepas pula, Asdi dan abangnya Amir Ali, 45, yang juga kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam masing-masing atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM83,000 berhubung kerja-kerja naik taraf, penyelenggaraan dan membaik pulih di JKR Hulu Selangor, tahun lalu.
— BERNAMA
Leave a Reply