Penuntut UM tak mengaku komen jelik terhadap TMJ

Oleh RAHIMI MOHAMAD

PELAJAR tahun tiga di Universiti Malaya tidak mengaku bersalah atas tuduhan membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kerabat diraja melalui media sosial, pada awal tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Muazz Ishak, 23, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Pemuda itu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman Twitter “@muazzishak” di pautan https://twitter.com/muazzishak.

Perbuatan itu dilakukan di alamat No. 14, Kampung Parit Jamal, Benut, Pontian, pada 5 Februari tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan selain boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhd. Valantino Ifni Ho Ridzuan.

Tertuduh ditawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh memohon jaminan minima memandangkan Ahmad Muazz masih belajar dalam jurusan Sains Sosial di peringkat Sarjana Muda di universiti awam itu.

Tertuduh juga hujah Muhd. Valantino, mengalami masalah kewangan setelah tidak mendapat biasiswa atau pinjaman pendidikan selain terpaksa bekerja sambilan di sebuah kafe selama lima hari seminggu.

Malah, anak guamnya sebelum ini juga pernah dijamin RM3,500 bagi pertuduhan melibatkan kesalahan yang berbeza ketika dituduh di Mahkamah Sesyen tersebut, pada 28 April tahun lalu.

Hakim Ahmad Kamal membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *