SEORANG penganggur dihadapkan di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas dua tuduhan membunuh dua beradik melibatkan kebakaran di Kampung Baru Kundang, Rawang, empat bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Fauzi Selamat, 46, yang memakai baju T warna hitam, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkod daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh B. Diviyah, 19, dan adik lelakinya, B. Visnu, 3, di rumah mangsa di Kampung Baru Kundang antara pukul 10.10 hingga 10.40 pagi, 14 September 2021.
Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 16 Mac depan untuk laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Turut hadir dalam prosiding itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Mahendren Naidu.
Pada 14 September tahun lalu, media melaporkan seorang remaja perempuan maut manakala adiknya berusia tiga tahun cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Baru Kundang.
Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu dilaporkan maut di hospital.
Sementara itu, ibu bapa mangsa, P. Chitra Devi, 48, dan suaminya, T. Balan, 48, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, mereka menuntut keadilan di atas kejadian yang berlaku terhadap dua anak mereka.
Leave a Reply