Guru madrasah, pelajar didenda RM1,500 masuk hutan simpan tanpa permit

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG guru madrasah bersama pelajarnya didenda sebanyak RM1,500 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di Sungai Petani, Kedah setelah mengaku bersalah memasuki Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi, di Sik, tanpa permit tahun lalu.

Hakim, Najwa Che Mat malah turut memerintahkan supaya Guru madrasah tersebut, Ismail Taib, 69 dan pelajarnya, Kairulanuar Zulkifili, 34, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda ditetapkan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didapati memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartmen 23, Hutan Simpan Rimba Teloi tanpa memiliki permit memasuki hutan simpan kekal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 11.30 pagi, 23 Ogos 2021.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Naquiah Jusoh dan Naliatul Huzaimi Ab. Rasip sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum hukuman dijatuhkan, kedua-dua tertuduh memohon supaya jumlah denda dapat dikurangkan kerana mendakwa mereka merupakan orang susah dan perlu menanggung keluarga.

Mengikut fakta kes, sewaktu anggota penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menjalankan rondaan di hutan tersebut, mereka terdengar bunyi mesin gergaji rantai sedang digunakan.

Penguatkuasa tersebut kemudiannya menjejaki bunyi itu dan menemukan satu kawasan lapang yang telah dibersihkan serta terdapat pembakaran kayu di situ.

Pemeriksaan lanjut mendapati dua individu tersebut sedang berehat tidak jauh dari lokasi pembakaran kayu berkenaan selain terdapat tiga parang, tiga tong minyak dan tiga motosikal di tempat kejadian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *