SEBANYAK 21 projek naik taraf dan pembangunan fizikal baharu bagi agensi keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membabitkan peruntukan berjumlah RM558.7 juta diluluskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, daripada keseluruhan projek berkenaan, sebanyak 10 projek adalah projek pembangunan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sementara 11 lagi projek bagi agensi keselamatan lain membabitkan Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“10 projek PDRM itu adalah pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga, Sarawak; pembinaan 18 Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di Selangor; membina semula Jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar, Johor dan pembinaan Balai Polis Kuala Penyu Beaufort, Sabah.

“Antara lain adalah pembinaan 10 Unit Kuarters Balai Polis Pulau Redang, Terengganu; pembinaan Pondok Polis Kampung Pimping, Membakut, Sabah; perolehan tanah bagi pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan IPK Perak serta menaik taraf fasiliti PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan Unit Tindakhas PDRM di Batalion 4 PGA Semenyih, Kajang, hari ini.

Hamzah berkata, kerajaan turut meluluskan empat projek bagi JPM membabitkan pembinaan Kompleks Latihan Tenun Pahang Diraja, Pahang; tangki air di Penjara Kajang; menaik taraf Pusat Asingan dan Penempatan Banduan, Blok Peralihan serta Blok Penempatan Penjara Simpang Renggam, Johor selain menaik taraf sistem kumbahan di penjara itu.

“JIM menerima tiga projek yang kesemuanya di Sarawak iaitu menaik taraf Kompleks ICQS Tebedu, Serian; pembinaan pos dan kuarters Telok Melano di Sematan serta Serikin di Bau.

“Kita juga meluluskan tiga projek ESSCOM di Sabah iaitu pembinaan Pos Manalunan, Kinabatangan; Pos Simanggaris, Kalabakan dan membina semula Pos Kuala Meruap, Lahad Datu manakala satu projek di bawah APMM membabitkan penaiktarafan Lapang Sasar Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, Pahang,” katanya.

Beliau berharap kesemua projek berkenaan dapat berjalan sebaik mungkin dan berjaya diselesaikan dalam waktu ditetapkan.

Pihaknya komited untuk memastikan segala infrastruktur dan keperluan agensi dipenuhi bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam kekal terjamin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here